Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sebanyak 38,064 unit peranti dan cecair rokok elektronik (vape) pelbagai jenis bernilai kira-kira RM1.3 juta dalam operasi bersepadu Op E-Cigarette Mega yang dilaksanakan pada Selasa lalu.
Menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya, operasi yang dijalankan dari jam 9 pagi hingga 6 petang itu membabitkan pemeriksaan ke atas 18 premis di sekitar Kuantan, Kuala Terengganu, Jerteh, Bachok dan Kota Bharu.
“Operasi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) susulan larangan kerajaan terhadap penjualan rokok elektronik di beberapa negeri termasuk tiga negeri di Pantai Timur.
“Hasil serbuan mendapati kesemua 18 premis yang diperiksa menjalankan aktiviti penjualan peranti dan cecair vape kepada penduduk tempatan,”menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu seramai 18 lelaki tempatan yang bertindak sebagai penjaga premis turut diperiksa dalam operasi berkenaan.
“PBT mengeluarkan saman dan notis kompaun terhadap semua premis terbabit selain menyita keseluruhan barangan berkenaan.
“Rampasan kemudian diserahkan kepada PBT masing-masing untuk tindakan lanjut,”jelas kenyataan itu.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan 2024, Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian 2019 dan Lain-Lain Tred.
IMedikel TV






