Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Keunikan acara Larian Ceria Bahasa bertambah menarik dengan inisiatif Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) apabila mengadakan ‘pit stop’ bahasa sepanjang larian sejauh 5kilometer.
Pengarahnya, Ariza Ismail berkata, peserta yang menyertai larian perlu berhenti di pit stop bagi menjawab soalan berkaitan simpulan bahasa dan pribahasa.
“Ini bukan sahaja menguji minda tetapi juga menambah semangat dan keterujaan peserta untuk terus berlari.
“Konsep ini menggabungkan elemen fizikal dan intelektual, menjadikan larian ini bukan sekadar acara riadah, tetapi platform untuk memupuk cinta terhadap bahasa,” katanya dalam ucapan Larian Ceria Bahasa, di Kota Bharu, di sini, pada Jumaat.

Ariza berkata, larian itu bertujuan memartabatkan bahasa sastera dan ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat negeri ini.
Jelasnya, lebih 1,000 peserta menyertai larian sekaligus mempunyai peluang mendapat hadiah cabutan bertuah seekor lembu dan dua ekor kambing.
Sementara itu, seorang pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa, Alan Foo Chi Rong, 18, berkata teknik bertanya soalan semasa berlari itu bagus kerana boleh menguji pengetahuan tentang pribahasa tersebut.

“Selain daripada dapat mengeluarkan peluh kita juga dapat menguji ilmu pengetahuan kita,” katanya.
Di samping itu, menurut seorang penjawat awam Ilyani Abdullah, 40, dia menyertai larian tersebut untuk meluangkan masa bersama dua orang anaknya Yusoff Muslim, 11 dan Ibrahim Adham 8.

“Sebelum larian ini, saya sempat membuat ‘briskwalk’ supaya kaki tidak menjadi retak ketika berlari memandangkan saya juga bukan aktif bersukan kerana sibuk dengan kerja.
“Walaupun kita fokus untuk berlari tapi pada masa yang sama, kita juga boleh fokus untuk anak-anak supaya masih lagi aktif dalam penggunaan bahasa contohnya seperti simpulan bahasa dan ejaan,” katanya.
IMedikel TV






