NEW DELHI: Laporan awal mengenai nahas pesawat Air India yang mengorbankan 260 nyawa bulan lalu dijangka dikeluarkan Jumaat ini.
Laporan itu mungkin akan memberikan maklumat awal mengenai bencana penerbangan terburuk di dunia dalam tempoh sedekad, kata tiga sumber semalam.
Memetik laporan REUTERS menerusi Berita Harian walaupun laporan daripada penyiasat India itu mungkin diumumkan pada Jumaat, sumber yang arif mengenai perkara itu memaklumkan rancangan itu mungkin berubah dan tiada kepastian mengenai berapa banyak maklumat yang akan dimuatkan dalam dokumen itu, yang dikeluarkan kira-kira 30 hari selepas tragedi pada 12 Jun lalu.
Sumber itu memberi maklumat dengan syarat identiti mereka tidak didedahkan kerana tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media.
Biro Siasatan Nahas Pesawat India (AAIB), yang mengetuai siasatan, tidak memberikan maklum balas segera kerana di luar waktu pejabat.
Pesawat Boeing 787 Dreamliner yang menuju ke London itu terhempas beberapa saat selepas berlepas dari Ahmedabad, mengorbankan 241 daripada 242 orang di dalam pesawat serta mangsa di darat.
Terdahulu, agensi berita ANI India semalam, melaporkan penyiasat AAIB sudah menyerahkan laporan awal mengenai nahas itu kepada kementerian penerbangan awam, memetik sumber.
Reuters bagaimanapun, tidak dapat mengesahkan laporan itu dengan segera.
Siasatan ini menghadapi pelbagai persoalan mengenai kekurangan maklumat, selepas penyiasat mengambil masa kira-kira dua minggu untuk memuat turun data perakam penerbangan selepas nahas.
Kerajaan India hanya mengadakan satu sidang media mengenai insiden itu, dan tiada soalan dibenarkan.
Bagaimanapun, India menarik balik keputusan awal, seperti yang dilaporkan oleh Reuters untuk menghalang seorang penyiasat penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu daripada menyertai siasatan terseb, menurut dua sumber kanan. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






