Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) prihatin terhadap kegusaran masyarakat mengenai isu kurikulum berat seperti yang dilaporkan di laman media sosial.
Menurut KPM dalam satu kenyataan, pada Mac lalu KPM telah mengumumkan inisiatif intervensi kurikulum yang merupakan salah satu daripada hala tuju Reformasi Pendidikan yang sedang berjalan.
Ia bertujuan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikannya relevan dengan keperluan murid.
Empat inisiatif intervensi kurikulum yang sedang dilaksanakan KPM adalah Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 yang melibatkan pengemaskinian dan penyusunan semula kandungan mata pelajaran Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris Tahap I sedia ada.
Pengesanan awal literasi dan numerasi bertujuan untuk mengenal pasti murid yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira serta memerlukan intervensi awal yang bersesuaian dengan kebolehan, keupayaan dan gaya pembelajaran mereka.
Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mesra ibu bapa bertujuan untuk memudahkan laporan tahap penguasaan PBD. Pelaporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik bagi semua mata pelajaran juga ditukar dalam bentuk peratus dan gred dan boleh diakses secara dalam talian.
Penataran Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 disebarluaskan kepada semua guru mata pelajaran Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sekolah rendah menerusi penganjuran webinar.
Laporan terkini kemajuan intervensi kurikulum akan diumumkan dalam masa terdekat. Kefahaman dan kerjasama antara guru, ibu bapa dan masyarakat adalah diperlukan bagi memastikan intervensi dapat dilaksanakan dengan berkesan dan mencapai matlamatnya.
IMedikel TV






