Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan kurang berpuas hati dengan pencapaian atlet di negeri ini dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang berakhir pada Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata pihaknya memerlukan anjakan yang besar untuk meningkatkan pencapaian atlet di masa akan datang.

“Prestasi kontinjen Kelantan sejak 2018 sehingga edisi di Sarawak kurang memberangsangkan dari segi pencapaian kutipan pingat.
“Saya kena tengok semula peranan Majlis Sukan Negeri (MSN)dari segi menyusun propgram pencarian bakat. Yang kedua mungkin dari segi peranan persatuan-persatuan sukan itu sendiri,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Larian Jiwa Merdeka 2024, di sini, pada Sabtu.
Katanya kontinjen negeri hanya mampu memperoleh 37 pingat iaitu tujuh pingat emas, 13 perak dan 17 gangsa.
Beliau turut mengulas isu kewangan bagi meningkatkan pencapaian atlet pada SUKMA yang akan datang.
“Kita juga turut memberi tumpuan kepada isu kewangan membabitkan atlet. Setakat ini mengikut maklumat bajet MSN tidak terlalu besar.
“Jadi di peringkat kerajaan negeri pertamanya ada penambahan untuk bajet tahun depan dan seterusnya program pembangunan sukan dan kedua mendapatkan sokongan daripada badan-badan korporat termasuk IMedikel untuk mengadakan sukan angkat atau yang berkaitan,”katanya.
Sementara itu, Zamakhshari berkata kerajaan negeri akan memberikan insentif kepada atlet yang berjaya meraih pingat sempena temasya SUKMA Sarawak pada majlis khas dalam masa terdekat nanti.
“Bagi individu atau dua orang ke bawah yang berjaya mendapat pingat emas akan menerima insentif RM2,500, perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,500), manakala bagi berpasukan melibatkan tiga atau enam orang atlet pula yang meraih pingat emas (RM3,000), perak (RM2,500) dan gangsa (RM2,000).
“Selain itu, untuk berpasukan yang melebihi tujuh orang atlet ke atas yang mendapat pingat emas (RM4,500), perak (RM3,500) dan gangsa (RM2,500),” katanya.
IMedikel TV






