Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peningkatan peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan untuk negeri Kelantan daripada RM3.19 bilion kepada RM8 bilion.
Beliau berkata, peningkatan peruntukan itu selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh pembangunan serta membela nasib rakyat di negeri berkenaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan tambahan peruntukan khas sebanyak RM20 juta khusus bagi membantu golongan miskin tegar di Kelantan, yang akan diselaras dan diuruskan sepenuhnya oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
“Asnaf yang berkelayakan di Kelantan akan menikmati bantuan tambahan sebanyak RM20 juta yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Dan peruntukan yang disediakan adalah kepada rakyat Kelantan yang layak menerimanya tanpa mengira latar belakang parti,” katanya ketika berucap pada Mini Konvensyen Keadilan Kelantan 2026, di sini, hari ini.
Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa atau penyelewengan harta negara.
Katanya, hasil daripada tindakan tegas kerajaan dalam memerangi rasuah dan mengurangkan ketirisan, negara telah berjaya menjimatkan kira-kira RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Dalam ucapannya juga, beliau berkata, bagi memperkasakan peluang pekerjaan golongan muda, satu mesyuarat bersama syarikat berkaitan kerajaan telah dipengerusikannya bagi merangka langkah tambahan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada lepasan kolej, universiti serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
IMedikel TV






