KUALA LUMPUR: Status ketua jurulatih Kuala Lumpur City (KL City), Risto Vidakovic dijangka dinilai semula dalam masa terdekat, sekali gus membuka kemungkinan beliau kembali mengendalikan pasukan bagi mengharungi baki tiga perlawanan musim ini.
Perkembangan itu dinyatakan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar yang tidak menafikan nasib pengendali dari Bosnia-Herzegovina itu akan dibincangkan dalam mesyuarat exco pasukan dalam masa terdekat.
Menurutnya, segala keputusan perlu dibuat secara teliti dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk pemain dan barisan exco, selain melihat keseluruhan situasi semasa pasukan.
“Macam mana pun, kami melihat kepada jalan positif buat KL City.Kami perlu rujuk kepada pemain, exco dan melihat daripada segala sudut.
“Hanya tinggal tiga perlawanan, boleh jadi dia akan kembali untuk menghabiskan tiga perlawanan itu.
“Apapun, keputusannya akan diputuskan dalam mesyuarat yang akan datang,” katanya.
Kenyataan itu memberi gambaran bahawa pintu untuk Vidakovic kembali membimbing The City Boys masih belum tertutup sepenuhnya, terutama ketika KL City masih memerlukan kestabilan bagi mengharungi baki saingan musim ini.
Sebelum ini, Arena Metro melaporkan jodoh Vidakovic bersama skuad The City Boys akhirnya tidak panjang apabila beliau disahkan tidak lagi mengendalikan pasukan itu.
Perkembangan itu difahamkan berlaku selepas mesyuarat membabitkan barisan Exco KL City baru-baru ini yang menyaksikan majoriti memutuskan jurulatih dari Bosnia-Herzegovina itu direhatkan atas beberapa faktor.
Menurut sumber dalaman pasukan, Vidakovic sebenarnya sudah tidak lagi bersama KL City dengan aksi terakhirnya bersama pasukan adalah ketika perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), baru-baru ini.
Sumber sama memaklumkan antara punca utama beliau tidak lagi bersama pasukan ialah selepas pihak pengurusan menerima aduan daripada beberapa pemain yang dikatakan tidak lagi selesa atau serasi dengan pengendali berkenaan. – HMetro Online –
IMedikel TV






