GENEVA: Kekurangan nutrisi dalam kalangan wanita hamil dan menyusu di Semenanjung Gaza kini mencetuskan “kesan domino yang menghancurkan” terhadap ribuan bayi baharu lahir, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, UNICEF, agensi kanak-kanak PBB, melaporkan peningkatan membimbangkan jumlah bayi yang dilahirkan dengan berat kurang daripada 2.5 kilogram di wilayah Palestin itu.
Jurucakap UNICEF, Tess Ingram, berkata “ibu yang kekurangan zat” melahirkan bayi pramatang atau berlebihan ringan, yang sama ada “meninggal dunia… atau hidup tetapi berdepan risiko kekurangan nutrisi serta komplikasi kesihatan sepanjang hayat”.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Geneva, ketika membuat laporan berhubung situasi di Gaza Tengah.
Menurutnya, bayi yang lahir dengan berat rendah mempunyai risiko 20 kali ganda lebih tinggi untuk meninggal dunia berbanding bayi dengan berat normal.
Pada 2022, sebelum serangan Hamas pada 7 Oktober di Israel dan operasi ketenteraan Israel di Gaza, lima peratus bayi yang lahir di Gaza mengalami berat badan rendah — kira-kira 250 bayi sebulan, berdasarkan data Kementerian Kesihatan di wilayah ditadbir Hamas yang boleh dipercayai oleh PBB.
Namun, jumlah kelahiran menurun pada separuh pertama 2025, 10 peratus bayi yang lahir dalam tempoh berkenaan berada dalam kategori kurang berat sekitar 300 bayi sebulan.
Bagi tempoh Julai hingga September, iaitu tiga bulan sebelum gencatan senjata rapuh pada 10 Oktober, angka itu meningkat kepada 460 bayi sebulan, kata Ingram.
“Berat lahir rendah biasanya disebabkan oleh kekurangan nutrisi ibu, tekanan tinggi dalam kalangan ibu serta akses terhad kepada penjagaan pranatal,” jelasnya.
“Di Gaza, ketiga-tiga faktor ini berlaku serentak, dan tindak balas kemanusiaan pula tidak bergerak cukup pantas atau pada skala yang diperlukan.”
Menurut Ingram, pada Oktober sahaja, UNICEF merawat 8,300 wanita hamil dan menyusu yang mengalami kekurangan nutrisi akut, sambil menegaskan bahawa sebelum Oktober 2023 kumpulan ini tidak menunjukkan sebarang tanda kekurangan zat.
UNICEF juga melaporkan peningkatan kematian bayi pada hari pertama kelahiran, daripada purata 27 kematian pada 2022 kepada 47 kematian antara Julai dan September tahun ini.
“Sekurang-kurangnya 165 kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia akibat kekurangan nutrisi yang menyakitkan tetapi boleh dicegah sepanjang peperangan,” kata Ingram.
Beliau mengulangi gesaan agar lebih banyak bantuan dibenarkan masuk ke Gaza serta pembukaan semula lintasan Rafah dari Mesir.
“Tiada bayi sepatutnya dicengkam kesan peperangan sebelum sempat menghela nafas pertama.
“Begitu banyak penderitaan boleh dielakkan sekiranya undang-undang kemanusiaan antarabangsa dipatuhi,” katanya. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






