Home Buletin Semasa STRUKTUR KONKRIT DI PANTAI KEMASIN RUNTUH DIBADAI OMBAK

STRUKTUR KONKRIT DI PANTAI KEMASIN RUNTUH DIBADAI OMBAK

183
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

BACHOK: Kemudahan awam di Pantai Kemasin mengalami kerosakan teruk selepas kawasan itu dibadai ombak setinggi empat meter sejak Ahad lalu, sehingga menyebabkan struktur konkrit di tepi pantai retak, terangkat dan runtuh.

Tinjauan kru I Medikel TV mendapati beberapa bahagian tapak konkrit sudah terhakis dan beralih daripada kedudukan asal, dipercayai akibat hentaman ombak berterusan.

Selain itu, kawasan sekitar itu turut dipenuhi longgokan sampah yang dibawa arus.

Seorang penduduk tempatan, Mohd Rahimi Haikal Mohd Azmi, 25, berkata runtuhan itu berlaku kerana ombak kuat ketika air pasang besar.

“Ombak menyebabkan pasir di bawah konkrit hilang dan struktur binaan menjadi tidak kukuh.

“Kejadian berlaku dari jam 11 malam hingga 4 pagi, sampai air laut naik ke laluan pejalan kaki,” katanya ketika ditemui, di Pantai Kemasin, di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd Zainuddin Mohd Salleh, 49, berkata keadaan itu sangat berbahaya kepada pengunjung.

“Mereka boleh terjatuh atau tertindih jika konkrit itu kembali runtuh.

“Lebih berbahaya apabila ada yang duduk di kerusi kerana ia berada pada struktur yang sudah tidak stabil,” katanya.

Dalam pada itu seorang pengunjung, Noraini Zakaria, 54, berharap pihak berkuasa dapat melakukan kerja baik pulih secepat mungkin.

“Saya berharap pihak berkenaan membina semula kawasan yang terhakis serta memperbaiki struktur supaya menjadi lebih kukuh.

“Pembersihan berkala juga penting kerana kawasan ini menjadi kotor selepas dibadai ombak,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here