Home Buletin Semasa KARNIVAL ALAM KITA PERKUKUH KESEDARAN RAKYAT TERHADAP KELESTARIAN ALAM SEKITAR

KARNIVAL ALAM KITA PERKUKUH KESEDARAN RAKYAT TERHADAP KELESTARIAN ALAM SEKITAR

185
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

SABAH: Kesedaran menjaga alam sekitar bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi amanah setiap rakyat Malaysia.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Chan Foong Hin berkata kelestarian alam sekitar adalah tanggungjawab bersama yang perlu didigalas setiap lapisan masyarakat.

Karnival Alam Kita (KAK) anjuran Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) itu menjadi wadah penting memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara alam sekitar melalui amalan gaya hidup hijau.

“Karnival Alam Kita membawa mesej bahawa kelestarian alam bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi milik setiap rakyat Malaysia.

“Kita semua berperanan menjaga bumi yang kita warisi ini. Perubahan besar bermula dengan langkah kecil kurangkan penggunaan plastik, tanam pokok, dan pelihara sungai kita,” katanya yang membacakan teks ucapan Menteri KPK memangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada majlis perasmian program itu di peringkat negeri Sabah di Membakut, Sabah, di sini.

Hadir sama Ketua Setiausaha NRES, Datuk Dr Ching Thoo Kim dan Ahli Parlimen Kimanis merangkap Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin.

Beliau berkata NRES sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh keseimbangan antara pembangunan ekonomi, sosial dan pemuliharaan alam.

“Antara agenda utama NRES termasuk pelaksanaan Dasar Alam Sekitar Negara (DASN) bagi memperkukuh tadbir urus alam sekitar; National Biodiversity Strategy and Action Plan (NBSAP) bagi memperluas perlindungan biodiversiti dan mempertingkatkan pengurusan kawasan perlindungan; serta Pelan Tindakan Iklim Negara bagi mempercepatkan usaha mitigasi dan adaptasi terhadap perubahan iklim,”jelasnya.

Tambahnya, Malaysia turut memperkukuh kedudukannya di peringkat antarabangsa melalui penyertaan aktif dalam pelbagai perjanjian dan konvensyen global seperti Protokol Montreal, Konvensyen Paris (UNFCCC) dan Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD).

Komitmen itu katanya diterjemahkan ke dalam tindakan di lapangan melalui projek-projek nyata seperti pemulihan hutan paya bakau, pemeliharaan kawasan tadahan air, pengurangan pelepasan karbon serta perlindungan spesies terancam.

“Komitmen Malaysia bukan hanya di atas kertas. Ia diterjemahkan melalui program di lapangan yang memberi kesan langsung kepada komuniti dan alam sekitar. Kita perlu memastikan pembangunan negara terus berlaku dengan mengambil kira keseimbangan ekologi,” katanya.

Katanya Sabah sebagai antara negeri yang paling kaya dengan khazanah semula jadi di dunia, dengan pelbagai ekosistem unik meliputi hutan tropika, gunung-ganang dan kawasan marin bertaraf dunia.

Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa kekayaan biodiversiti ini perlu terus dipelihara daripada ancaman kehilangan habitat, perubahan iklim, aktiviti penerokaan tidak terkawal serta pencemaran.

“Usaha membina kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar bermula dari rumah dan sekolah,”katanya.

KAK adalah program tahunan NRES dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS), agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta.

Karnival itu turut menampilkan pelbagai pengisian menarik seperti bengkel pendidikan alam sekitar, seminar kesedaran biodiversiti, aktiviti gotong-royong komuniti, pameran interaktif, pertandingan lestari dan aktiviti mesra keluarga.

Penganjuran di Sabah tahun ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh penglibatan masyarakat dalam menjayakan agenda kelestarian dan penjagaan alam sekitar di seluruh negara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here