KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Harian Metro pelakon, Zahiril Adzim, 41, meluahkan rasa syukur apabila rumah tangga yang dibina bersama isterinya, Syera Ayob selama 15 tahun kekal bertahan sehingga kini.
Zahiril berkata, ini berikutan dia dan isteri sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri masing-masing demi menjaga keharmonian rumah tangga mereka.
“Kalau kita fikir apa yang kita rasa sahaja tidak akan ke mana tapi kita perlu fikir apa yang kita boleh ‘contribute’ (sumbangan) dalam perhubungan suami dan isteri.
“Kami bersyukur sebab ada anak, Nadi Anaqi yang menjadi pengikat kasih sayang yang sangat besar dalam kehidupan berumah tangga.
“Anaqi adalah tempat kita bergelak ketawa dan setiap kerenahnya akan buat saya terhibur. Dia adalah penyeri kami,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Katanya, dia mengakui setiap kehidupan rumah tangga juga ada tempoh pasang dan surutnya.
“Rumah tangga juga kena ada turun dan naik baru tak bosan, kalau nak gaduh, boleh gaduh dan kalau nak ‘sweet’ (romantik) pun boleh, semua kena ada.
“Saya pernah dengar ada orang cakap rumah tangganya okay sahaja dan selepas itu dia berasa bosan,” katanya.
Diminta mengulas perceraian kalangan selebriti dan rakan seperjuangan dalam industri pula, kata Zahiril, dia berasa bimbang dengan isu terbabit.
“Tapi kita tahu perkara itu bukan pada tangan kita. Kita selalu terlupa hakikat, ajal, rezeki dan jodoh semuanya ketentuan Tuhan. Berbalik pada agama, kita juga terlupa yang jodoh mereka sampai di situ sahaja,” katanya. – HMetro Online –
IMedikel TV






