Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
MACHANG: Lima premis makanan di daerah ini diarahkan tutup selama 14 hari selepas gagal mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).
Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, perintah penutupan itu dikeluarkan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
Menurutnya, pemilik premis yang tidak mematuhi perintah tersebut boleh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Tindakan ini diambil menerusi Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 03/2026 yang dilaksanakan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan pada 21 April lalu bagi memastikan pematuhan peraturan serta mencegah penyakit bawaan makanan dan air seperti keracunan makanan, tifoid dan kolera.
“Sebanyak 47 premis makanan termasuk kedai makan dan restoran telah diperiksa membabitkan 71 petugas kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, pemeriksaan dijalankan di sekitar Bandar Machang, Pulai Chondong, Labok, Batu 30, Jalan Tanah Merah dan Jalan Pangkal Meleret.
Dr Mohd Azman berkata, JKNK turut mengeluarkan sebanyak 61 kompaun berjumlah RM12,250 terhadap pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Kesalahan paling banyak direkodkan ialah kegagalan mematuhi keperluan pemakaian pengendali makanan dengan 46 notis melibatkan kompaun sebanyak RM4,600.
“Antara kesalahan lain termasuk membenarkan pekerja tanpa suntikan vaksin atau latihan mengendalikan makanan serta kegagalan memastikan premis sentiasa berada dalam keadaan bersih,” katanya.
Beliau turut menegaskan supaya pemilik dan pengendali premis bertanggungjawab memastikan tahap kebersihan sentiasa dipatuhi.
“Orang ramai yang mengunjungi premis makanan di daerah Machang dan seluruh negeri ini juga disaran memilih premis yang bersih,” katanya.
IMedikel TV






