Home Sukan SIVASANGARI TAKLUK PIALA GRASSHOPPER, KINI KELIMA DUNIA

SIVASANGARI TAKLUK PIALA GRASSHOPPER, KINI KELIMA DUNIA

35
0

KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Harian Metro pemain skuasy nombor satu negara, S Sivasangari, melonjak ke ranking kelima dunia dari kedudukan keenam hasil kejayaan menjuarai Piala Grasshopper 2026 di Zurich, Switzerland.

Pemain kelahiran Kedah itu mempamerkan semangat juang luar biasa apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan pemain Jepun, Satomi Watanabe, 3-2 dalam aksi final sengit selama 62 minit dengan keputusan 15-13, 5-11, 5-11, 11-7, 11-8 semalam.

“Saya mengharungi perlawanan dalam tempoh yang lama semalam (kelmarin) dengan kemenangan besar. Saya dan Satomi sudah bermain bersama sejak usia sembilan tahun, kami membesar bersama dan berkawan baik di luar gelanggang. Jadi memang sentiasa sukar setiap kali berdepan antara satu sama lain.

“Kami melalui semua peringkat bersama sejak remaja hingga ke pentas senior. Saya gembira melihat perkembangan kami di Jelajah. Bagi saya, ini satu kelegaan dan saya sangat gembira. Memang penat, tetapi saya puas dapat memenangi gelaran ini,” kata Sivasangari selepas tamat perlawanan.

Walaupun bermula cemerlang dengan memenangi set pertama, Sivasangari ketinggalan 1-2 sebelum bangkit menguasai dua set terakhir untuk merangkul kejuaraan kategori Emas itu.

Kemenangan itu bukan saja menghadiahkan trofi berprestij, malah menjadi pemangkin kepada lonjakan ranking dunia apabila dia kini menghuni tangga kelima dunia, pencapaian terbaik dalam kariernya.

Sivasangari turut mengukuhkan dominasi ke atas Satomi dengan rekod tujuh kemenangan daripada lapan pertemuan.

Lebih manis, kejayaan itu hadir hanya 24 jam selepas dia mengharungi perlawanan separuh akhir yang memenatkan selama 81 minit menentang pemain Mesir, Amina Orfi (ketiga dunia).

Dalam aksi itu, Sivasangari turut bangkit untuk menang 11-7, 5-11, 8-11, 11-9, 11-5, sekali gus mencatat kemenangan kedua ke atas Orfi daripada sembilan pertemuan.

Kejayaan di Zurich membuktikan peningkatan konsisten Sivasangari di pentas dunia, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara pencabar utama dalam skuasy wanita antarabangsa. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here