Home Buletin Semasa PAKAR BEDAH PAYUDARA DAN ENDOKRIN MALAYSIA CIPTA SEJARAH DI PENTAS ASIA

PAKAR BEDAH PAYUDARA DAN ENDOKRIN MALAYSIA CIPTA SEJARAH DI PENTAS ASIA

519
0

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seorang pakar bedah payudara dan endokrin dari Kelantan, Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi, mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi anak Malaysia pertama dijemput menyampaikan Prof. S. Vittal Oration pada Persidangan Tahunan Persatuan Pakar Bedah Endokrin India (Indian Association of Endocrine Surgeons, IAES) pada 31 Oktober lalu.

Beliau yang juga Ketua Kepakaran Pembedahan Payudara dan Endokrin Malaysia berkata jemputan itu adalah satu penghormatan besar kerana ia lazimnya diberikan kepada tokoh-tokoh ternama dalam bidang pembedahan endokrin di rantau Asia.

“Saya amat terharu dengan pengiktirafan ini kerana ia satu penghormatan yang tidak disangka kerana pakar terkenal di India sendiri belum pernah dijemput untuk menyampaikan oration ini.

“Prof. S. Vittal Oration dinamakan sempena pengasas bidang pembedahan endokrin di India, yang dianggap sebagai guru utama kepada generasi pakar bedah endokrin di negara itu,” katanya, di sini hari ini.

Pakar Perunding di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) tersebut berkata, syarahan bertajuk ‘Technology and Innovation in Endocrine Surgery’ yang disampaikannya menerima maklum balas positif daripada pakar-pakar bedah dari seluruh Asia menghadiri persidangan berprestij itu.

Dr Imi Sairi berkata, antara inti pati utama syarahan tersebut ialah keperluan meningkatkan penggunaan teknologi moden dalam pembedahan endokrin seperti pembedahan robotik, endoskopik serta sistem pemantauan saraf ketika pembedahan tiroid.

“Negara maju seperti Eropah dan United Kingdom telah lama menggunakan teknologi sebegini.

“Di Malaysia, kita ada kemahiran tetapi kekangan bajet mengehadkan penggunaan peralatan berteknologi tinggi dan berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi perhatian terhadap perkara ini,” katanya.

Beliau turut membangkitkan keperluan kerajaan melabur dalam kemudahan perubatan seperti robot, mesin ultrasound dan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) serta alat auto fluorescent bagi meningkatkan keupayaan diagnostik dan rawatan dalam bidang tersebut.

“India walaupun dianggap negara mundur, namun mereka melabur besar dalam teknologi pembedahan endokrin. Malaysia tidak boleh ketinggalan kerana potensi pakar kita sangat besar,” katanya.

Dr. Imi Sairi yang juga Setiausaha Kehormat (Secretary Treasurer) Persatuan Pakar Bedah Endokrin Asia (Asian Association of Endocrine Surgeons, AsAES) berkata, beliau membawa bersama satu memorandum persefahaman (MoU) dengan IAES bagi memperkukuh kerjasama latihan pakar antara dua negara.

“Melalui MoU itu, kita akan menghantar pelatih dan pensyarah dari Malaysia serta rantau ASEAN ke India setiap tahun bagi pertukaran ilmu dan pengalaman,” jelasnya.

Tambahnya, kerjasama itu amat penting kerana Malaysia hanya mempunyai kira-kira 60 pakar bedah endokrin berdaftar, dengan 40 daripadanya berkhidmat di sektor swasta.

“Ini bermakna hanya 20 pakar yang kekal di hospital kerajaan untuk membantu pesakit golongan B40 yang tidak mampu mendapatkan rawatan di hospital swasta,” katanya.

Menurutnya, beliau kini memberi tumpuan melatih lebih ramai pakar bedah endokrin agar perkhidmatan kerajaan dapat menampung keperluan rakyat tanpa bergantung kepada sektor swasta.

“Saya berharap KKM dapat memastikan kebajikan dan insentif setara bagi mengekalkan pakar dalam sistem kerajaan dan jika diberi perhatian, kita mampu lahirkan lebih ramai pakar endokrin yang berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Beliau menzahirkan hasrat agar kejayaan ini menjadi pemangkin kepada generasi muda doktor untuk menyambung kepakaran hingga ke peringkat antarabangsa demi kemajuan bidang perubatan negara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here