Home Buletin Semasa KECANTIKAN SERAMA JADI LAMBANG KESENIAN WARISAN

KECANTIKAN SERAMA JADI LAMBANG KESENIAN WARISAN

577
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KETEREH: Di sebalik kokokan halus dan kepak megah ayam serama, tersimpan nilai seni dan warisan bangsa yang terus dipelihara.

Pertandingan Kecantikan dan Kesenian Warisan Ayam Serama, Piala Raja Serama Malaysia 2025 menjadi pentas mengangkat keunikan unggas kebanggaan Melayu itu di Dewan Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI), semalam.

Lebih membanggakan, pertandingan kali ini turut disertai peserta luar negara, sekali gus memperkukuh kedudukan acara tersebut sebagai platform bertaraf antarabangsa.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Dan Korporat MDKPI, Mohd Azrul Abdullah Rozli berkata sebanyak 364 ekor ayam serama dipertandingkan dalam lapan kategori utama iaitu Anak A, Anak B Jantan, Serama Induk atau Betina, Serama Remaja, Serama Muda, Serama Jantan A (380 gram ke bawah), Serama Jantan B (381 gram ke atas) serta kategori paling berprestij, Best of the Best (BOTB).

“Setiap peserta mempertaruhkan ayam serama terbaik mereka yang dinilai berdasarkan sembilan kriteria utama termasuk gaya persembahan, bentuk tubuh, ekor, balung, warna, sayap, bulu dan nilai kecantikan keseluruhan,”katanya.

Terdahulu, Majlis perasmian itu disempurnakan Ketua Whip MDKPI, Mohd Asri Yunus.

Mohd Azrul Abdullah berkata, pertandingan itu bukan sekadar acara pertandingan kecantikan spesies unggas sahaja, namun lebih besar peranannya sebagai usaha memartabatkan warisan kesenian yang sudah berakar sejak dekad 1990-an di Ketereh.

“Ketereh adalah antara lokasi terawal penganjuran pertandingan rasmi ayam serama. Usaha ini menjadi kesinambungan untuk memelihara tradisi dan kesenian unggas yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Sorakan para peminat setiap kali ayam-ayam kecil itu memperagakan keindahan di atas meja pameran membuktikan bahawa kesenian dan keunikan ayam serama terus menjadi kebanggaan bukan sahaja di Kelantan, tetapi juga di persada dunia.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk peserta, pasukan teknikal dan pengunjung yang memeriahkan acara berkenaan.

“Semoga penganjuran ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang, dengan penyertaan lebih luas serta impak yang lebih besar kepada masyarakat dan kesenian ayam serama negara,”katanya.

Pemenang setiap kategori memenangi hadiah wang tunai juga sebuah piala.

Program anjuran bersama Persatuan Ayam Serama Kelantan (PERSEK) dan MDKPI itu mendapat sambutan amat menggalakkan dengan penyertaan peminat dari seluruh negara termasuk Pahang, Kedah, Pulau Pinang dan Sarawak.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here