Dortmund: Lille menjaringkan gol menerusi percubaan pertama mereka yang tepat ke sasaran pada minit ke-68 menerusi Hakon Haraldsson untuk mencatat keputusan seri 1-1 di Borussia Dortmund, awal pagi tadi.
Sebelum itu, Karim Adeyemi meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada separuh masa pertama pada perlawanan pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Pasukan Jerman itu yang mara ke final pada musim lalu kecewa dengan keputusan itu selepas gagal menambah kelebihan mereka pada babak pertama walaupun mempunyai beberapa peluang.
Mereka mengendurkan tekanan selepas rehat dan akhirnya dibolosi dengan gol penyamaan yang layak diperoleh oleh pasukan Perancis itu yang sabar menunggu peluang mereka.
“Kami bermain dengan baik hari ini terutama pada separuh masa kedua,” kata jurulatih Lille, Bruno Genesio.
“Keputusan seri 1-1 meletakkan kami dalam kedudukan sangat baik untuk perlawanan kedua.
“Tetapi kami perlu beraksi dengan sangat baik di tempat sendiri jika mahu mara ke suku akhir.”
Dortmund mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dalam perlawanan sebelum Adeyemi meletakkan mereka di hadapan pada minit ke-22 menerusi satu rembatan rendah yang terkena tiang sebelum masuk ke gawang.
Nico Schlotterbeck hampir menjaringkan gol kedua pada minit ke-38, tetapi rembatan kuatnya hanya tersasar sedikit.
Pascal Gross berjaya meletakkan bola ke dalam jaring pada penghujung separuh masa pertama, namun jaringannya dibatalkan kerana ofsaid.
Pasukan Jerman itu yang bergelut dalam saingan Bundesliga musim ini dan kini berada di tangga ke-10 serta berisiko terlepas saingan UCL musim depan, mula kehilangan intensiti selepas rehat.
Lille yang gagal menembusi pertahanan kukuh Dortmund selama lebih sejam, akhirnya mencipta satu gerakan hantaran pantas sebelum Haraldsson menewaskan penjaga gol, Gregor Kobel.
Haraldsson kini menjadi pemain Iceland kedua yang menjaringkan gol dalam pusingan kalah mati UCL.
“Kami melihat dua babak yang berbeza. Kami bermain dengan baik pada separuh masa pertama, layak mendapat gol dan mempunyai peluang untuk menambah jaringan,” kata jurulatih Dortmund, Niko Kovac.
“Namun, pada separuh masa kedua, kami kehilangan kawalan, terlalu pasif dan menyebabkan masalah kepada diri sendiri.
“Kami hanya bertindak balas dan daripada satu-satunya peluang Lille, kami dibolosi dengan gol penyamaan. Sekarang, kami menjangkakan pertarungan sengit di Lille, tetapi kami tetap yakin untuk mara ke pusingan seterusnya.” – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






