Home Buletin Semasa ISMAIL EMBONG BERHASRAT LEBAR PAMERAN LUKISAN KE EROPAH

ISMAIL EMBONG BERHASRAT LEBAR PAMERAN LUKISAN KE EROPAH

190
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Tokoh Pelukis Negara, Ismail Embong berhasrat untuk melebarkan pameran lukisan bergerak ke seluruh dunia termasuk Eropah.

Katanya ia bertujuan untuk menyebarkan kepada dunia berkaitan kepelbagaian budaya, etnik dan seni di Malaysia.

“Tujuan asal pameran bergerak ini adalah supaya suatu masa nanti akan sampai ke Eropah.

“Jadi mereka boleh tengok kepelbagaian etnik dan budaya kita,”katanya ketika ditemui pada Program Sepetang Bersama Legasi Ismail Embong di Balai Seni Lukis, di sini, semalam.

Hadir sama dua anak beliau pelakon Emma Maembong dan Shikin Maembong serta menantunya, penyanyi Cat Farish.

Katanya dalam pameran tersebut lebih 100 karya lukisan beliau bersama anak-anak dipamerkan di Perbadanan Muzium Kelantan, di sini.

“Karya saya ada lebih 100, yang anak (Emma) pun lebih kurang 100. Namun, saya terpaksa membawa pulang separuh karya tersebut ke Terengganu memandangkan muzium di sini tidak dapat mempamerkan kesemua lukisan tersebut kerana ruang tidak mencukupi.

“Kelantan adalah pusat kesenian budaya Melayu, paling banyak berbanding Terengganu dan negeri-negeri lain, jadi saya berharap agar muzium ini diperbesarkan lagi,”katanya.

Katanya siri jerayawara ini bermula di Terengganu disusuli Kelantan dan seterusnya ke Kedah serta Melaka.

“Pameran ini bermula di Terengganu, selepas itu Kelantan dan kemudian ke Kedah dan Perlis. Namun bangunan di Perlis belum siap lagi, selepas Kedah destinasi terakhir adalah Melaka.

“Selepas itu kita akan ke Brunei, seterusnya kita minta untuk ke antarabangsa dan saya berharap mendapat tajaan sampai ke Eropah,”katanya.

Dalam pada itu, beliau mengadakan program di universiti bagi mencari bakat dan pelapis untuk mempelajari bidang lukisan.

“Sebelum pandemik Covid-19, saya sudah masuk banyak sekolah seluruh Malaysia mengajar di sekolah untuk mencari pelapis dan saya hendak tetapkan untuk masukkan dalam galeri saya di Kuala Lumpur, pada 17 Mac 2020.

“Malangnya pada 18 Mac, kerajaan arahkan perintah berkurung. Jadi mereka yang saya pilih sebagai pelapis lebih kurang 500 ke 600 orang pada akhirnya tiada hingga kini,”katanya

Beliau berharap dengan adanya pameran ini dapat memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk menjadi pelapis.

Pameran yang berlangsung selama dua bulan, bermula 25 November lalu hingga 31 Januari ini, memberi tumpuan kepada keindahan budaya dan kepelbagaian etnik masyarakat Malaysia melalui hasil seni kanvas.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here