Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kehilangan seorang abang secara mengejut memberi kesan mendalam buat Nur Aina Mohd Zainal, 23 dan keluarganya selepas mendapat berita berhubung Muhammad Zakir Fikry Mohd. Zainal, 20, ditemui dalam keadaan parah selepas hampir seminggu tidak berada di rumah.
Ketika ditemui di kediamannya, Nur Aina berkata, keluarganya hanya mengetahui kejadian itu selepas mangsa dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).
“Sebaik tiba di hospital, doktor bertanya sama ada abang saya terlibat dalam kemalangan atau sebaliknya, tetapi kami sekeluarga tidak dapat menjawab kerana hanya mengetahui kejadian itu selepas arwah sudah berada di hospital.
“Saya lihat abang tidak sedarkan diri dengan kepalanya masih berdarah serta terdapat kesan lekuk di bahagian kepala,” katanya.
Nur Aina berkata, dia turut dimaklumkan oleh majikan arwah bahawa sejak dua hari sebelum kejadian, abangnya kelihatan keletihan dan sering tertidur ketika bekerja.
Menurutnya, arwah merupakan seorang abang yang baik dan tidak pernah kedekut berkongsi rezeki bersama adik-beradik.
“Arwah memang seorang abang yang penyayang dan selalu membantu keluarga,” katanya.
Nur Aina berkata, jenazah abangnya kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk proses bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Karang sebaik selesai proses berkenaan.
Media hari ini melaporkan, seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) lembam maut dipercayai dipukul selepas ditemui dalam keadaan nazak di tepi jalan di Kampung Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati, di sini kira-kira jam 7.30 pagi semalam.
Mangsa, dibawa ke HPUSM sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.45 tengah malam tadi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
IMedikel TV






