Home Hiburan ‘TAK SANGKA AMALAN KONGSI DUIT RAYA JADI TULAR’ – MK K-CLIQUE

‘TAK SANGKA AMALAN KONGSI DUIT RAYA JADI TULAR’ – MK K-CLIQUE

82
0

KUALA LUMPUR: Tindakan MK K-Clique mengagihkan duit raya kepada orang ramai, baru-baru ini, mencuri perhatian apabila video memaparkan aksi itu tular dalam media sosial.

Perkongsian itu mengundang reaksi positif daripada peminat yang rata-ratanya memuji sikap pemurah pelakon dan penyanyi berasal dari Sabah itu dalam berkongsi rezeki pada Hari Raya.

Menjelaskan situasi sebenar, MK atau nama sebenar, Muhammad Hairi Amin Hamdan, berkata amalan berkongsi duit raya bukan perkara baharu, sebaliknya, sudah menjadi kebiasaan setiap kali tiba musim perayaan.

“Setiap kali musim perayaan, saya keluarkan sedikit duit untuk berkongsi rezeki. Kebetulan, ketika itu, saya baru pulang dari Sabah dan Pahang, jadi, masih ada baki wang lagi.

“Peminat pun sudah tahu, setiap kali ada acara sepanjang musim raya, kalau ada kelapangan atau rezeki lebih, saya memang berkongsi rezeki,” katanya ketika ditemui di set penggambaran filem Black Ops di Jalan Kuchai Lama di sini, semalam.

Menurut MK, dia berkongsi rezeki bersama kanak-kanak terutama ketika pulang ke kampung sebelah isteri.

Bagaimanapun, pelakon drama Aku Bukan Ustazah itu berkata, agihan duit raya dan sumbangan dibuat mengikut kemampuan semasa.

“Kadang-kadang di kampung isteri saya, saya singgah dan berkongsi kerana seronok melihat keterujaan kanak-kanak. Namun, tidaklah setiap masa, semuanya bergantung kepada keadaan dan kemampuan saya.

“Alhamdulillah, pada hari itu, semuanya mencukupi. Jika tidak mencukupi, saya biasanya akan minta maaf dan salurkan melalui kod QR,” katanya.

MK berkata, dia berusaha memberi duit raya kepada semua yang tetamuhadir supaya adil, malah, jumlah yang diagihkan bergantung kepada situasi.

“Jika kehadiran ramai, saya akan beri dalam jumlah yang lebih sederhana supaya semua dapat merasa. Saya juga sudah memaklumkan nilai dalam sampul raya

“Apa yang penting, saya ikhlas berkongsi kerana masih dalam suasana raya dan mereka hadir memberi sokongan kepada acara itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, MK membintangi filem aksi Black OPS yang juga naskhah rentas negara arahan Syafiq Yusof dan pengarah Hong Kong, Chui Tze.

Selain MK, pelakon lain yang turut membintangi filem berkenaan ialah Datuk Aaron Aziz, Sharnaaz Ahmad, Andy Teh, Fauzi Nawawi, Elizabeth Tan, Anding Indrawani, Hisyam Hamid, Raja Afiq, Mathni Razak, Ahirine Ahirudin dan ramai lagi.

Black Ops yang mengisahkan pasukan rahsia elit kerajaan yang ditubuhkan untuk menumpaskan kartel dadah antarabangsa di Malaysia, bakal ditayangkan tahun depan. – HMetro Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here