Home Buletin Semasa LELAKI OKU LEMBAM MAUT DIPERCAYAI DIPUKUL SELEPAS DITEMUI DI TEPI JALAN

LELAKI OKU LEMBAM MAUT DIPERCAYAI DIPUKUL SELEPAS DITEMUI DI TEPI JALAN

94
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

BACHOK: Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) lembam maut dipercayai dipukul selepas ditemui dalam keadaan nazak di tepi jalan di Kampung Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati, di sini kira-kira jam 7.30 pagi semalam.

Mangsa, Muhammad Zakir Fikry Mohd. Zainal, 20, dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.45 tengah malam tadi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Seorang penduduk, Mohd Yusoff Shaffie, 60, berkata, dia mengetahui kejadian itu daripada rakannya sebelum tiba di lokasi kejadian berhadapan dengan kebunnya.

Menurutnya, mangsa ketika itu ditemui oleh penduduk dalam keadaan terbaring berhampiran sebuah motosikal jenis Honda C70, dalam keadaan kepalanya berlumuran darah.

“Saya lihat mangsa seperti mengerang kesakitan dan terdapat kesan darah yang sudah kering di bahagian muka serta kepala.

“Selepas itu, saya terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, dia turut berasa waswas kerana motosikal mangsa tidak mengalami sebarang kerosakan sekiranya kejadian itu berpunca daripada kemalangan.

“Kalau nak kata kemalangan, agak tidak logik kerana tiada kesan pada motosikal.

”Tambahan pula, mangsa juga bukan anak mukim di kampung ini.

“Bagaimanapun, terdapat penduduk di sini yang mengenali mangsa yang tinggal tidak jauh dari kampung ini,” katanya.

Katanya, dia terkejut menerima berita kematian mangsa, namun mengakui keadaan mangsa ketika ditemui sememangnya kritikal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here