Home Buletin Semasa PERTANDINGAN DIKIR BARAT RTM 2026 PERKENAL KATEGORI KUMPULAN WANITA

PERTANDINGAN DIKIR BARAT RTM 2026 PERKENAL KATEGORI KUMPULAN WANITA

305
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Radio Televisyen Malaysia (RTM) meneruskan legasi penganjuran Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 dengan pembaharuan signifikan apabila memperkenalkan kategori Kumpulan Wanita buat julung kalinya sejak pertandingan itu dianjurkan pada 1993.

Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman, berkata pengenalan kategori baharu tersebut dilihat sebagai langkah progresif dalam memartabatkan seni warisan Dikir Barat yang lebih inklusif dan dinamik, selain membuka ruang kepada golongan wanita menampilkan bakat serta kreativiti dalam arena yang selama ini didominasi penyertaan lelaki.

“Transformasi penganjuran edisi ke-22 itu turut mencerminkan komitmen RTM untuk menyuntik evolusi positif terhadap seni tradisi agar kekal relevan, segar dan seiring dengan perkembangan semasa.

“Pertandingan dwi-tahunan ini juga menggalakkan penyertaan pendikir muda daripada pelbagai kaum, sekali gus memperluas dimensi serta keterangkuman Dikir Barat di peringkat nasional,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sidang Media dan Pelancaran Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 yang berlangsung di Kampung Kraftangan, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Penyiaran Kelantan, Ivan Toh, Pengarah Program Radio (PPR), Saifuzzaman Yusop dan Ketua Bahagian Rancangan (KBR) Kelantanfm, Azlan Mahmood.

Beliau berkata, cabaran utama adalah untuk mengekalkan kehebatan yang sudah dicapai, justeru pihaknya sentiasa mengetengahkan kelainan dengan menyentuh penggunaan pelbagai bahasa serta penglibatan wanita.

“Jika tiada pembaharuan, kita akan kekal berada di tahap yang sama. Sebab itu, cabaran ini penting supaya pasukan produksi sentiasa memikirkan pendekatan terbaik untuk menghasilkan karya yang lebih berkualiti dan mampu meraih penarafan lebih tinggi berbanding sebelum ini,” katanya.

Katanya Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 menjadi antara strategi RTM dalam memperkukuh kandungan berkualiti di platform digital RTMKLIK, di samping diangkat sebagai salah satu acara utama dalam kalendar sambutan ulang tahun RTM ke-80.

Peringkat saringan dijadualkan berlangsung pada 7 dan 8 Februari ini di stesen RTM terpilih di seluruh negara.

Sementara itu, kumpulan yang layak ke peringkat Separuh Akhir dan Akhir akan membuat persembahan di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur masing-masing pada 18 dan 25 April 2026.

Bagi kategori Kumpulan Lelaki, juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30,000, manakala RM25,000 menanti juara kategori Kumpulan Wanita.

Dalam majlis sama, Raja Perfume turut diumumkan sebagai Penaja Tunggal pertandingan peringkat kebangsaan tersebut.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here