Home Segmen Kesihatan HERPES ATAU ULSER: KENAL PASTI LEPUHAN DI BIBIR

HERPES ATAU ULSER: KENAL PASTI LEPUHAN DI BIBIR

1121
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

Ramai yang memandang enteng berkenaan lepuhan dimulut kerana beranggapan lepuhan tersebut hanya sekadar ulser biasa.

Namun, ternyata ada yang silap.

Mereka tidak dapat membezakan antara ulser mulut yang biasa berlaku dan herpes mulut disebabkan kurang pendedahan berkenaan masalah itu kerana ia memerlukan perundingan dengan doktor untuk mengenalpasti maklumat lanjut mengenai ulser, pemeriksaan teliti & jika diperlukan, ujian lanjut.

Menurut Pensyarah & Pakar Klinikal di Jabatan Perubatan Penyakit Dalam Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Hafsah Sazali, terdapat perbezaan dari segi gejala & tanda-tanda bagi sebab-sebab ulser yang berlainan, sekiranya terdapat individu yang mengalami lepuhan di mulut.

“Terdapat beberapa tanda jika diperiksa. Herpes mulut misalnya, biasanya terdapat lepuhan kecil dan berkumpul. Manakala terdapat satu atau beberapa biji lepuhan sekiranya seseorang mempunyai ulser mulut biasa atau Apthous ulser.

“Ianya lebih besar atau kecil berwarna putih atau kekuningan dan terdapat warna merah di sekitar lepuhan tersebut,” katanya kepada kru IMedikel TV.

Katanya bagi memastikan lepuhan itu adalah ulser atau herpes mulut adalah dengan menjalani pemeriksaan doktor, bukan hanya sekadar melihat berdasarkan rupa atau gejala.

“Untuk memastikan kita perlu menjalani pemeriksaan termasuk sejarah lepuhan tersebut, kekerapan ia berlaku termasuk rupa, gejala serta punca.

“Ulser mulut berlaku disebabkan banyak faktor (selain jangkitan virus) termasuk masalah autoimun, kekurangan nutrisi dan sebagainya,”katanya.

Menurut Dr Hafsah herpes mulut adalah masalah atau penyakit yang disebabkan oleh Herpes Simplex Virus (HSV).

“Kebiasaannya herpes mulut ini melalui jangkitan virus HSV 1 yang membabitkan bahagian mulut dan muka ataupun orofacial,”katanya.

Menurut Dr Hafsah punca utama herpes mulut adalah disebabkan jangkitan virus dan ia biasanya disebarkan melalui sentuhan langsung daripada titisan atau rembesan, daripada cecair mulut kepada individu yang terbabit.

Beliau berkata bagi individu yang mengamalkan seks oral, herpes mulut boleh merebak ke bahagian genital.

“Ini boleh berlaku melalui ciuman, perkongsian peralatan seperti sudu, garfu dan peralatan makanan lain.

“Ia boleh menjadi medium penyebaran apabila kita terdedah kepada titisan atau rembesan yang dijangkiti kuman tersebut.

“Kalau ada individu yang mengamalkan seks oral ia boleh membabitkan bahagian genital atau bahagian sulit,”katanya.

Katanya majoriti penyakit herpes mulut kemungkinan tidak mempunyai sebarang gejala ataupun hanya mempunyai gejala ringan sahaja.

Namun menurutnya, sekiranya individu mengalami herpes mulut, sebelum berlakunya lepuhan, kebiasaannya mereka sudah berasa denyutan (sakit).

“Sebelum bermulanya lepuh itu memang dah berdenyut. Kadang-kadang sakit, rasa pedih itu biasa berlaku.

“Untuk diagnosis yang tepat memang perlu jumpa doktor. Sebab doktor perlu mendapatkan maklumat lanjut. Bila terjadi, bagaimana dia mula terjadi (maklumat lain). Selepas itu pemeriksaan untuk tengok rupa ulser ataupun lepuhan,”katanya.

Untuk pengetahuan semua, herpes mulut boleh menjangkiti orang lain melalui titisan atau rembesan, oleh itu golongan berisiko termasuk bayi, ibu mengandung, warga emas juga mereka yang mempunyai penyakit kronik termasuk kanser perlu mengelakkan untuk bersentuhan dan berkongsi peralatan makanan.

Bagaimanapun, herpes mulut boleh dirawat.

“Kalau herpes mulut ringan atau tidak rumit, tidak ada rawatan spesifik yang diperlukan. Dia sembuh sendiri. Tetapi jika jangkitan lebih berat kita ada rawatan ubat sapu, rawatan antivirus dan ubat makan.

“Dan penting juga untuk mencegah dengan memakai perlindungan matahari termasuk sunblock/sunscreen untuk perlindungan daripada sinar UV.

“Dan jika jangkitan itu berat ia boleh membabitkan penyebaran virus ke tempat lain terutama kepada golongan berisiko. Contohnya kepada bayi, jika dijangkiti ia boleh merebak ke otak kerana bayi baru lahir mempunyai sistem imun masih tidak matang. Kita panggil systemic infection/jangkitan sistemik (apabila virus merebak). Perlu rawatan yang cepat,”katanya.

Katanya golongan berisiko yang dijangkiti virus tersebut boleh menyebabkan maut disebabkan imuniti mereka rendah.

Menurut Dr Hafsah, ramai dalam kalangan masyarakat beranggapan masalah herpes hanya berlaku kepada mereka yang sering melakukan hubungan kelamin, namun ini penjelasan beliau.

“Mitos yang pertama ialah ia berlaku hanya kepada individu yang aktif dalam hubungan seks. Namun sebenarnya ia boleh berlaku kepada mana-mana individu daripada pelbagai peringkat umur.

“Kedua adalah stigma di mana jangkitan itu hanya berlaku kepada mereka yang mengamalkan amalan seks yang tidak sihat.

“Ini stigma yang saya rasa kena betulkan sebab sesiapa sahaja yang boleh mendapat jangkitan kuman ini melalui sentuhan yang secara langsung dengan titisan cicair yang dijangkiti kuman tersebut,”katanya.

Beliau menegaskan supaya masyarakat perlu peka terhadap masalah penyakit yang dialami dan mengelakkan untuk membuat andaian atau diagnosis sendiri khususnya melalui carian di internet.

Dr Hafsah berkata sebaiknya individu yang mempunyai masalah tersebut segera berjumpa dengan doktor untuk menjalani pemeriksaaan dan diagnosis tepat.

“Saya rasa kita patut mengambil peluang untuk berbincang mengenai topik ini dengan lebih intelektual untuk memberi fakta yang tepat.

“Seharusnya kita perlu mendapatkan fakta daripada pakar dan elakkan menghakimi seseorang dan membuat andaian mengenai diagnosis, rawatan dan sebagainya.

“Dapatkan pemeriksaan yang terperinci, barulah kita boleh memberi diagnosis dan rawatan yang tepat. Ia sangat berbahaya jika membuat andaian dan rawatan sendiri,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here