Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Penyakit strok yang sebelum ini sinonim dengan golongan berusia kini semakin membimbangkan apabila semakin ramai pesakit dalam lingkungan usia 20-an dan 30-an turut dikenal pasti menghidap penyakit berkenaan.
Pakar Perubatan Neurologi, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Profesor Madya Dr. Sanihah Abdul Halim berkata, secara tradisinya kebanyakan pesakit strok terdiri daripada individu berusia 50 tahun ke atas, namun trend semasa menunjukkan peningkatan ketara dalam kalangan golongan muda.
“Pada masa sekarang, bukan sahaja warga emas, malah golongan muda berusia antara 20 hingga 30-an juga semakin ramai mengalami strok.
“Keadaan ini berlaku disebabkan kegagalan mengawal faktor risiko,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Unit Rawatan Strok dan Unit Separa Kritikal (HDU) Neurologi, Wad 1 Selatan, di sini, hari ini.
Terdahulu majlis tersebut dirasmikan Timbalan Pengarah (Operasi) HPUSM, Profesor Dr. Imran Yusoff mewakili Pengarah HPUSM, Profesor Datuk Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani.
Menurut Dr. Sanihah, faktor risiko utama termasuk penyakit kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi yang kini semakin banyak dikesan dalam kalangan generasi muda.
“Zaman sekarang, masalah obesiti, pemakanan tidak teratur serta gaya hidup tidak sihat menjadi penyumbang utama.
“Selain itu, masalah jantung seperti nadi tidak stabil juga boleh meningkatkan risiko strok,” jelasnya.
Dr Sanihah turut memaklumkan bahawa secara global, statistik menunjukkan satu daripada empat individu berisiko mengalami strok, dan nisbah tersebut turut mencerminkan situasi di Kelantan.
Mengulas mengenai rawatan, beliau berkata rawatan utama strok ialah mencairkan atau mengeluarkan darah beku, ini kerana strok berlaku disebabkan oleh salur darah yang tersumbat.
“Pesakit perlu mendapatkan rawatan segera. Ubat pencair darah perlu diberikan dalam tempoh empat jam selepas serangan strok, manakala prosedur mengeluarkan darah beku dalam salur darah utama mesti dilakukan dalam tempoh enam jam,” katanya.
Tambah beliau, kelewatan mendapatkan rawatan boleh menyebabkan kerosakan otak kekal dan menyukarkan proses pemulihan.
“Pesakit yang datang awal biasanya menunjukkan kadar pemulihan yang lebih cepat berbanding mereka yang datang lewat apabila kecacatan telah berlaku,”katanya.
Dalam usaha meningkatkan kesedaran awam, Dr Sanihah menekankan kepentingan mengenali tanda awal strok melalui kaedah BEFAST.
“B merujuk kepada Balance iaitu masalah keseimbangan, E untuk Eye atau gangguan penglihatan, F bagi Face apabila muka menjadi senget, A untuk Arm iaitu kelemahan tangan, S untuk Speech atau pertuturan menjadi pelat, dan T ialah Time untuk segera ke hospital atau menghubungi ambulans,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa strok boleh berulang sekiranya faktor risiko tidak dikawal dengan baik.
“Pesakit yang pernah mengalami strok berisiko untuk diserang semula, termasuk dalam usia 20-an, sekiranya tidak mengawal tekanan darah, gula, kolesterol, berhenti merokok dan mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.
Sementara itu Dr. Imran berkata Unit Rawatan Strok HPUSM adalah satu-satunya wad khusus untuk rawatan pesakit strok di negeri Kelantan dan juga terbesar di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
“Unit ini dilengkapi dengan 18 katil terdiri daripada 14 katil rawatan strok akut dan empat katil rehabilitasi strok.
“HDU Neurologi pula mempunyai tujuh katil menjadikan jumlah keseluruhan 25 katil di Wad 1 Selatan,”katanya.
Katanya penubuhan Unit Rawatan Strok dan HDU Neurologi juga diharap dapat memberi manfaat yang besar kepada masyarakat, meningkatkan hasil rawatan pesakit strok serta mengukuhkan peranan HPUSM sebagai pusat rujukan strok terkemuka di pantai timur dan negara amnya.
IMedikel TV






