Home Buletin Semasa 839 ANGGOTA BOMBA KELANTAN SIAP SIAGA HADAPI MONSUN TIMUR LAUT

839 ANGGOTA BOMBA KELANTAN SIAP SIAGA HADAPI MONSUN TIMUR LAUT

325
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda negeri ini pada awal November, dengan kekuatan 839 anggota termasuk bomba bantuan.

Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, seramai 16 pasukan bomba sukarela dan komuniti turut digerakkan bagi membantu mangsa banjir di kawasan berisiko.

Katanya aset bomba seperti bot dan kenderaan turut disalurkan kepada pasukan berkenaan bagi memastikan operasi menyelamat dapat dijalankan dengan lancar.

“Penugasan anggota bomba sepenuh masa dan bantuan bergantung kepada situasi banjir.

“Jika keadaan memerlukan, anggota akan bertugas secara berterusan selama 24 jam, malah kita bersedia untuk melanjutkan tempoh itu kepada 36 atau 48 jam,”katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Oktober 2025 JBPM Kelantan di sini, hari ini.

Farhan Sufyan berkata, bilik gerakan JBPM Kelantan juga akan beroperasi 24 jam sehari sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi MTL.

Menurut beliau JBPM Kelantan kini mempunyai 64 bot termasuk 56 yang berada dalam keadaan baik dan siap digunakan untuk hadapi banjir.

“Tiga jentera penting iaitu lori, bot marin dan pacuan empat roda juga perlu berada dalam keadaan terbaik bagi menarik serta menyelamatkan mangsa banjir,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pembekuan cuti anggota bomba akan dilaksanakan sekiranya diperlukan bergantung kepada keadaan banjir dari semasa ke semasa.

Katanya, beberapa daerah seperti Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tumpat dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi mengalami banjir besar tahun ini, manakala keadaan di Gua Musang dijangka lebih terkawal berikutan taburan hujan yang lebih rendah.

Dalam pada itu, beliau berkata keadaan cuaca ketika ini sedang dipengaruhi peralihan Monsun Barat Daya ke Monsun Timur Laut, yang menyebabkan berlakunya ribut petir terutama pada waktu petang dan malam.

“Fenomena itu turut membawa risiko hujan lebat dalam tempoh singkat yang boleh mengakibatkan kejadian pokok tumbang serta membahayakan aktiviti luar.

“Berdasarkan statistik, sejak Mei lalu, purata kejadian pokok tumbang di Kelantan ialah antara 20 hingga 30 kes sebulan, dengan kebarangkalian peningkatan dijangka pada September dan Oktober. Namun, angka itu masih dianggap normal bagi tempoh peralihan monsun.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here