Home Buletin Semasa NIAT ZIARAH BERTUKAR TRAGEDI, LELAKI CEDERA PARAH DIREMPUH KERETA TERBABAS

NIAT ZIARAH BERTUKAR TRAGEDI, LELAKI CEDERA PARAH DIREMPUH KERETA TERBABAS

345
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

BACHOK: Niat seorang lelaki untuk menziarah bertukar tragedi apabila dia cedera parah selepas sebuah kereta jenis Toyota Avanza terbabas lalu merempuh sebuah rumah kediaman dalam kejadian di Jalan Berkelam, Kampung Padang Lati, di sini, petang semalam.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I KUP Ibrahim Mohd Rohni dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok berkata, difahamkan, lelaki terbabit, Mohamed Hadlin Ya, 59, datang melawat penghuni rumah berkenaan sebelum kejadian berlaku.

“Kereta Toyota Avanza dipandu seorang lelaki warga Pakistan berumur 21 tahun terbabas lalu merempuh rumah berkenaan.

“Mangsa yang cedera parah berada di dalam rumah tersebut dan difahamkan datang menziarah tuan rumah itu,”katanya ketika dihubungi kru IMedikel TV.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.45 petang dan tiba di lokasi kira-kira 12 minit kemudian.

“Setibanya di tempat kejadian, kami dapati sebuah Toyota Avanza dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebuah rumah kediaman serta dua kenderaan lain yang berada berhampiran,” katanya.

Menurutnya, kemalangan itu membabitkan empat individu dua penghuni rumah yang mengalami kecederaan ringan.

“Mangsa cedera diserahkan kepada pasukan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk dihantar ke hospital berhampiran bagi rawatan lanjut,” katanya.

Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 5 petang dengan kekuatan lapan anggota menggunakan satu jentera FRT dan sebuah kenderaan Toyota Hilux dari BBP Bachok.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here