Home Hiburan KOMEDI ADA ISI

KOMEDI ADA ISI

538
0

Karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee sememangnya tidak pernah lekang dek zaman dan sentiasa menjadi rujukan kepada semua penggiat seni tanah air.

Memetik laporan Harian Metro, pelbagai filem arahan dan lagu ciptaannya diberi nafas baru dengan olahan tertentu agar ia terus kekal relevan dalam arus pemodenan negara ketika ini.

Ini termasuk filem komedi arahan dan lakonannya, Madu Tiga yang dikeluarkan pada 1964. Kini, ia dipentaskan sebagai teater komedi berjudul Madu 3 Madu arahan Amran Nasrudin yang diberi nafas semula dari segi barisan pelakon yang membintanginya.

Selepas pementasan pertama di Kuala Lumpur pada 2023, Madu 3 Madu bakal dipentaskan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Perlis, Kangar pada 27 hingga 29 Jun ini bermula jam 8.30 malam.

Amran yang juga pelakon berkata, kali ini beberapa perubahan dari segi pelakon dilakukan memandangkan ada yang mempunyai komitmen serta sebab yang tidak dapat dielakkan untuk menyertai pementasan kali ini.

“Kita mengadaptasi pementasan teater ini daripada skrip asal filem berkenaan dan kita tidak mahu merosakkan skrip asalnya, namun kelainannya adalah ia dipentaskan secara ‘live’ dan kelainan yang ada pun mungkin sekitar 30 peratus daripada jalan cerita filem tanpa mengganggu perjalanan skrip filem sedia ada.

“Beza kali ini adalah untuk mendapatkan satu tema atau ‘right’ daripada produksi Shaw Brothers dan mereka pun membenarkan kita melakukan pementasan ini dengan syarat tidak boleh divideokan atau mengubah sebarang skrip asal apa yang sudah ada filem Madu Tiga.

“Selain itu, terdapat perubahan dari segi pelakon di mana watak utama Jamil yang dibawakan Musly Ramlee digantikan oleh Jibam Ramlee. Kita turut menampilkan pempengaruh terkenal Perlis, Pinat Al Edros atau Pinat Review untuk pementasan kali ini,” katanya.

Katanya, untuk pementasan kali ini, Perlis dipilih ia mempunyai ramai penggiat seni kebudayaan serta aktiviti bersifat kesenian dan kebudayaan.

“Orang Perlis yang berjaya dalam seni teater awalnya seperti Nam Ron dan kita tahu penggiat tempatan lain seperti Cikgu Yaakob (Yaakob Aziz). Penggiat seni yang dari kelulusan teater dan penulisan, jadi itu adalah antara sebab saya bawa pementasan teater ini ke Perlis,” katanya.

Amran berkata, teater ini tidak hanya hiburan semata-mata, tetapi membawa mesej mengenai komunikasi, toleransi dan nilai kekeluargaan dalam dunia moden.

“Teater ini kami bawakan bukan sekadar untuk ketawa, tetapi untuk membuka ruang berfikir di mana ia adalah satira yang menyentuh isu yang biasa kita dengar, namun jarang dihadam secara mendalam,” katanya.

Selain Jibam dan Pinat, ia turut menampilkan pelakon popular seperti Datuk Imuda, Abon, Mubarak Majid, Yaakob Aziz dan Sulaiman Yassin atau Mat Over. -HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here