Home Hiburan ‘RAJA MAWAR NAK JUMPA, TAPI MASING-MASING SIBUK…’ – A AIDA

‘RAJA MAWAR NAK JUMPA, TAPI MASING-MASING SIBUK…’ – A AIDA

613
0

KAJANG: Penerbit drama, Datuk A Aida, menangis sepanjang jalan ke Masjid Jamek Bandar Kajang untuk menziarahi jenazah Penolong Pengarang Berita Hiburan Berita Harian (BH) Raja Nurfatimah Mawar Mohamed, yang meninggal dunia akibat serangan jantung, petang semalam.

Memetik laporan Berita Harian, A Aida yang mengenali Raja Nurfatimah Mawar sejak 30 tahun lalu berkata, Allahyarham ada menghubunginya baru-baru ini untuk memberikan cenderahati yang dibeli ketika bercuti ke Eropah.

“Kali terakhir kami berhubung minggu lalu sebelum saya berangkat ke London lagi. Dia kata nak jumpa untuk serahkan cenderahati yang dibelinya di Eropah, sebab arwah tahu saya menyimpan koleksi gelas kecil dari luar negara.

“Bagaimanapun kami tak sempat berjumpa kerana masing-masing sibuk. Selalunya boleh dikatakan sebulan sekali kami akan berjumpa dan luangkan waktu dengan makan bersama dan lakukan aktiviti santai.

“Ketika mendapat berita pemergian dia, memang saya terkejut. Malah dalam perjalanan untuk masjid (malam) tadi, saya menangis dalam kereta sepanjang jalan,” katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Bandar Kajang, malam tadi.

A Aida berkata, kehilangan sahabat yang dipanggil Raja Mawar itu, amat dirasai memandangkan hubungan mereka amat akrab

“Saya kenal Allahyarham kira-kira 30 tahun, sebelum saya berkahwin dengan Ameng (vokalis Spring) lagi.

“Allahyarham menjadi tempat saya mengadu selain Allahyarham Mama Juwie. Kami selalu bertukar cerita mengenai kucing kerana kami membela kucing, jadi kami suka berkongsi mengenai makanan kucing dan sebagainya.

“Walaupun kehilangan sahabat baik, saya reda dengan pemergiannya. Saya bersyukur kerana dia pergi dengan cara yang sangat mudah, bukan terbaring setahun dua.

“Saya mohon pada Allah semoga satu hari nanti andai Allah nak ambil saya, biarlah seperti cara sahabat-sahabat saya yang pulang tanpa disangka,” katanya lagi.

Raja Nurfatimah Mawar dilaporkan mengadu sakit dan sukar bernafas sebelum meninggal dunia kira-kira jam 2 petang semalam di kediamannya di Sungai Long, Kajang.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Masjid Haji Kadir, Pasir Panjang, Kuala Terengganu pagi tadi. -BH Online- 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here