Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Syarikat pakaian sukan tempatan, PUC Sport mengorak langkah penting dalam usaha memperkukuh empayar perniagaan dan sukan serantau menerusi kerjasama strategik bersama dua kelab bola sepak iaitu Kelantan WTS FC dan Nara United dari Thailand.
Ketua Pegawai Eksekutif PUC Sport, Mohd Shukry Pauzi berkata, penajaan fasa pertama bernilai dua juta baht (RM200,000) dimeterai menerusi kerjasama PUC Sport Thailand, syarikat usaha sama antara PUC Sport dan rakan kongsi Thailand.
“Keseluruhan tajaan termasuk barangan dijangka mencecah hampir lima juta baht, (RM600,000) meliputi sokongan pemasaran dan pembangunan cawangan.
“Acara ini dijangka membuka lembaran baharu dalam pembangunan bakat, promosi sukan dan pertumbuhan ekonomi sukan khususnya di Pantai Timur dan Selatan Thailand,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan penyerahan dokumen Memorandum Perjanjian (MoU) diwakili Presiden Kelantan WTS FC, Wan Muhd Ridhuan Wan Abdullah dan Pengurus Nara United, Abdulroman Benhumsee, juga berlangsung, Majlis Perluasan Empayar PUC Sport Thailand di sini, semalam.
Majlis penyerahan MoU penajaan dan perluasan empayar PUC Sport di Thailand yang berlangsung turut menyaksikan pengumuman rasmi penajaan serta pelancaran kejohanan sulung PUC Cup 2025.
Majlis tersebut turut dihadiri wakil-wakil rasmi kelab, penaja, dan jemputan khas dari dalam serta luar negara sebagai simbolik permulaan sinergi rentas sempadan antara entiti bola sepak Malaysia dan Thailand.
Menurut Mohd Shukry, PUC Sport turut memperkenalkan jersi edisi khas (limited edition) gabungan era kegemilangan 2009–2015 dengan tandatangan 18 legenda bola sepak Kelantan sebagai produk koleksi istimewa.
“Langkah ini membuktikan komitmen PUC Sport dalam memperkukuh perpaduan penyokong dan memperkasa identiti bola sepak tempatan di pentas serantau.
“Kerjasama pelbagai hala ini diyakini mampu mengangkat martabat bola sepak ASEAN sambil mempromosikan jenama Malaysia ke pasaran luar negara,” katanya.
IMedikel TV






