PARIS: Bekas pemain tengah Manchester United dan Juventus, Paul Pogba akan menandatangani kontrak bersama kelab Ligue 1, AS Monaco, menurut satu sumber kepada ESPN.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Pogba bersetuju secara lisan untuk kontrak selama dua tahun dengan kelab Perancis itu selepas menolak tawaran lumayan daripada sebuah kelab di Liga Pro Saudi, menurut sumber tersebut.
Pada Februari 2024, Pogba dikenakan penggantungan selama empat tahun selepas didapati positif mengambil DHEA, satu bahan terlarang.
Pada Oktober, penggantungan itu dikurangkan kepada 18 bulan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas rayuan dan berakhir pada Mac.
Pogba kemudian mendedahkan kepada ESPN bahawa dia pernah mempertimbangkan untuk bersara selepas dihukum penggantungan selama empat tahun pada awalnya.
“Ya, saya banyak berfikir, saya terfikir untuk berhenti bermain bola sepak,” katanya pada Oktober 2024.
“Saya fikir: ‘Apa yang akan saya buat?’ Jika empat tahun, anda mula mengira dalam kepala. Empat tahun tanpa bermain, hanya berlatih. Kelab mana yang akan mahukan saya? Adakah saya akan cergas, dan sebagainya. Anda bayangkan banyak perkara dalam fikiran.”
“Tetapi pada masa sama, saya tetap berpegang pada kepercayaan dan kekal positif. Saya tahu saya tidak lakukan apa-apa kesalahan dengan sengaja, jadi syukurlah perkara itu berlaku dan hukuman saya dikurangkan.”
Perlawanan terakhir Pogba adalah penampilan selama 29 minit bersama Juventus pada September 2023 dan kali terakhir bermain selama 90 minit penuh ketika bersama Manchester United pada Mac 2022. -Agensi, HMetro Online-
IMedikel TV






