Home Sukan BUKAN SERI YANG MIAMI CARI

BUKAN SERI YANG MIAMI CARI

259
0

MIAMI: Inter Miami tidak berniat untuk sekadar mencari keputusan seri apabila mereka menentang Palmeiras dalam perlawanan terakhir Kumpulan A di Piala Dunia Kelab esok walaupun keputusan itu cukup untuk membawa kedua-dua pasukan ke pusingan kalah mati.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, ia akan menjadi satu pencapaian besar buat Inter Miami, yang sebelum ini menewaskan Porto dan seri dengan Al Ahly dalam dua perlawanan pertama mereka.

Palmeiras kini menerajui kumpulan dengan empat mata, diikuti Miami yang juga mempunyai empat mata tetapi dibezakan dengan perbezaan gol, manakala Porto dan Al Ahly masing-masing memiliki satu mata.

Keempat-empat pasukan masih berpeluang untuk layak ke pusingan 16 terbaik, namun hanya Miami dan Palmeiras yang menentukan nasib mereka sendiri.

Palmeiras hanya memerlukan seri untuk muncul juara kumpulan. Pemenang kumpulan akan berdepan pasukan di tempat kedua Kumpulan B, yang kini diterajui Botafogo dengan enam mata, manakala juara Liga Juara-Juara, Paris Saint-Germain, berada di tempat kedua dengan tiga mata.

Jurulatih Inter Miami, Javier Mascherano berkata: “Kami sedang berdepan dengan mungkin salah satu perlawanan paling penting dalam sejarah kelab ini.

“Perkara utama adalah biar ia mengisi kami dengan semangat untuk bermain, bukan sebagai satu beban, tetapi sebagai satu cabaran menyeronokkan untuk kumpulan pemain ini yang menunjukkan prestasi memberangsangkan.

“Akan jadi satu kesilapan besar jika kami masuk ke perlawanan ini hanya dengan memikirkan keputusan dan bukannya untuk bermain. Saya rasa apabila anda terlalu fikirkan keputusan dan tidak benar-benar ‘masuk’ ke dalam perlawanan, perkara-perkara boleh berlaku yang menyukarkan kita untuk bangkit semula.

“Akhirnya, idea kami adalah untuk masuk dan menang perlawanan ini seperti kami selalu lakukan sama ada dalam Piala Dunia Kelab, MLS, Liga Juara-Juara, atau mana-mana kejohanan yang kami sertai.” -Reuters, HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here