Home Sukan USTAZAH CURI TUMPUAN BERENTAP DI GG4X4 MEDIUM CORE 2026 

USTAZAH CURI TUMPUAN BERENTAP DI GG4X4 MEDIUM CORE 2026 

Oleh: Wartawan IMedikel TV

MARANG : Kelibat seorang ustazah muda di celah-celah deruman enjin jentera pacuan empat roda (4×4) mencuri tumpuan pengunjung dan peserta pada kejohanan GG4x4 Medium Core 2026 di sini, baru-baru ini.

Bagi Nurul Amirah Al Hidayah Othman, 23, status sebagai pendidik agama bukan penghalang untuk dia memecah tradisi bersaing dalam sukan pemotoran lasak yang lazimnya didominasi golongan lelaki daripada pelbagai latar belakang.

Sanggup meredah perjalanan jauh dari Kuantan, Pahang ke Terengganu, anak muda itu tampil bersahaja mengemudi jenteranya sambil dibantu abang kandung sendiri selaku pembantu jurupandu.

Walaupun masih hijau dalam saingan kompetitif, kawalan sterengnya di laluan mencabar membuktikan dia bukan sekadar tangkap muat. Sebaliknya, minat terhadap sukan ekstrem ini sudah sebati sejak kecil kerana sering mengikut keluarga masuk ke kawasan pedalaman serta menyertai siri perlumbaan tempatan.

“Peluang turun beraksi di Bukit Payung ini memang tidak boleh dilepaskan untuk saya kutip lebih banyak pengalaman sebenar di litar.

“Kategori Medium Core ini sangat membantu pelumba baharu macam saya sebab ia beri ruang dan peluang yang sama rata untuk bersaing,” katanya ketika ditemui di trek perlumbaan.

Mengulas mengenai cabaran laluan di sini, Nurul Amirah mengakui keadaan trek yang berlumpur tebal menjadi ujian berganda berbanding sirkit di negeri lain.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari bermula Jumaat lalu itu mempertaruhkan dua kategori utama.

Saingan edisi kali ini berjaya menghimpunkan seramai 54 pelumba dari seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan tuan rumah, Terengganu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here