Oleh : Wartawan IMedikel TV
PASIR GUDANG : Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat penilaian terhadap status perkhidmatan lima anggota yang terbabit dalam kes penyeludupan dadah tetapi belum didakwa, termasuk kemungkinan mengambil tindakan menerusi siasatan dalaman sekiranya mereka tidak berdepan pertuduhan di mahkamah sivil.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah menubuhkan jawatankuasa siasatan bagi meneliti semua prosedur berkaitan kes berkenaan.
Beliau berkata, pihak tentera ketika ini belum dapat menemui anggota terbabit berikutan mereka masih berada dalam tahanan polis.
Menurutnya, daripada lapan anggota yang terbabit, tiga pegawai sudah didakwa di mahkamah semalam, manakala nasib lima lagi anggota masih belum diketahui.

“Jika lima anggota itu dibebaskan atau tidak direman seperti tiga yang lain, pihak tentera mungkin akan mengadakan siasatan dalaman bagi menentukan status mereka.
“Walaupun mungkin tidak cukup bukti untuk membawa mereka ke mahkamah sivil atau jenayah, pihak tentera akan menilai sama ada mereka wajar terus berkhidmat dalam pasukan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Karnival CIMIC Johor 2026 di Pasir Gudang, hari ini.
Mohamed Khaled menegaskan Kementerian Pertahanan (MINDEF) tidak akan berkompromi dalam isu berkenaan kerana perbuatan itu bukan sahaja boleh menjejaskan imej pasukan, malah menggagalkan usaha menjaga pertahanan negara.
Beliau turut menyifatkan perkara itu sebagai amaran kepada semua anggota tentera supaya sentiasa mematuhi peraturan dan menjaga integriti ketika menjalankan tugas.
“Kita tidak ada niat untuk mempertahankan sesiapa. Sebab itulah kita tangkap dan serahkan kepada polis untuk disiasat. Kita akan pergi sampai ke lubang cacing.
“Kita berharap pihak polis dapat menangkap dalang sebenar sindiket ini kerana anggota tentera yang ditahan hanya menjadi alat kepada sindiket berkenaan,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, kes itu dipandang serius kerana bukan sahaja membabitkan penyalahgunaan aset ketenteraan untuk kepentingan peribadi, malah turut menjurus kepada kegiatan jenayah pengedaran dadah.
Katanya, perbuatan itu jelas melanggar amanah dan integriti sebagai anggota keselamatan negara serta boleh menjejaskan imej ATM dan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.
Beliau berkata, TUDM sudah menubuhkan jawatankuasa bagi meneliti semula semua prosedur operasi standard (SOP) susulan pendedahan kes berkenaan.
“Kita tak teragak-agak untuk menyerahkan kepada pihak berkuasa, polis, walaupun anggota itu mungkin kena hukuman mati, gantung ataupun seumur hidup.
“Kes ini bukan sahaja menyalahi peranan tanggungjawabnya menggunakan aset tentera untuk kegunaan peribadi tetapi ia melibatkan satu kes jenayah.
“Kita sangat tegas dalam perkara ini kerana ia bukan sahaja boleh merosakkan imej ATM, malah menggagalkan usaha kita menjaga pertahanan negara. Tidak ada kompromi dan ini amaran kepada semua anggota,”katanya.
Semalam, tiga pegawai TUDM dan tiga orang awam didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 96.2 kilogram (kg).
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
IMedikel TV






