Home Luar Negara GEMPA BUMI, GEGARAN SUSULAN LANDA LOS ANGELES

GEMPA BUMI, GEGARAN SUSULAN LANDA LOS ANGELES

LOS ANGELES: Gempa bumi magnitud 5 menggegarkan perairan pantai selatan California, memaksa sebuah pesawat penumpang membatalkan pendaratan di lapangan terbang bandar itu.

Memetik laporan Afp menerusi Berita Harian, Menurut laporan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa berkenaan dirasai berhampiran Manhattan Beach, sebuah bandar berhampiran Los Angeles, sebelum berlaku beberapa lagi gegaran susulan.

Pejabat Perkhidmatan Kecemasan Gabenor California dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, pihaknya sedang bekerjasama secara aktif dengan pegawai tempatan bagi menilai kesan kejadian itu.

“Gempa bumi sukar diramal, jadi orang ramai perlu bersedia menghadapi gegaran susulan,” menurut pejabat itu.

Rakaman yang tersebar di media sosial menunjukkan gempa berkenaan mencetuskan penggera kereta di Los Angeles, selain memaksa sebuah pesawat Delta Airlines membatalkan pendaratan ketika menghampiri lapangan terbang bandar itu.

Pesawat berkenaan hampir menyentuh landasan ketika gempa berlaku, memaksa kru membatalkan pendaratan bagi mengelakkan risiko sekiranya terdapat keretakan pada landasan.

Tiada laporan segera mengenai kecederaan atau kerosakan besar diterima, walaupun beberapa penduduk melaporkan kejadian cermin pecah dan barangan terjatuh dari rak.

Dalam perkembangan berkaitan, satu gegaran susulan mengakibatkan panel siling berwarna putih di lapangan terbang Los Angeles tercabut, manakala tingkap di salah satu terminal turut pecah.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa California memberi amaran kepada penduduk di kawasan terbabit supaya bersedia menghadapi lebih banyak gegaran susulan.

Sementara itu, Jabatan Bomba Los Angeles (LAFD) memaklumkan pihaknya berada dalam mod gempa bumi, dengan anggota dari lebih 100 balai bomba dikerahkan untuk menjalankan penilaian terhadap infrastruktur kritikal di bawah bidang kuasa jabatan itu melalui pemeriksaan darat, udara dan laut.

“Setakat ini, tiada laporan awal mengenai kerosakan struktur atau kecederaan. Perkembangan terkini akan dimaklumkan selepas Mod Gempa Bumi LAFD selesai,” kata jabatan itu di laman sesawangnya.

Ahli seismologi, Lucy Jones, yang juga penyelidik bersekutu di Institut Teknologi California (Caltech), berkata California bukan asing dengan kejadian gempa bumi, namun gegaran pertama itu disifatkan sebagai antara yang terbesar pernah melanda wilayah itu sejak sekian lama. – AFP, BH Online –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here