Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Seramai 28 kakitangan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) dan Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) menyertai Latihan Pertolongan Cemas dan bantuan pernafasan kardiopulmonari (CPR) di Pejabat Negeri Pertahanan Awam Negeri Pahang, di sini kelmarin.
Program dikendalikan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang dianjurkan oleh Unit Latihan Persatuan Pendidik Awal Kanak-Kanak Negeri Pahang membabitkan lapan Taska dan Tadika termasuk Pusat Jagaan Orang Tua Tionghua Kuantan.
Ketua Bahagian Angkatan, Latihan, Perhubungan Awam APM Pahang, Kapten (PA) Shaifu Nizam A Rahman berkata, selain kakitangan turut sama menyertai program sehari itu ialah pengusaha Taska dan Tabika termasuk pusat jagaan orang tua daerah ini.

Katanya, latihan berkenaan diadakan bertujuan memberi pendedahan dan kemahiran kepada peserta terhadap teknik memberi pertolongan cemas pada kanak-kanak dan warga tua dibawah penjagaan mereka.
Menurutnya, pihaknya mengajar cara asas memberi pertolongan cemas dan CPR yang boleh diberikan apabila berlaku kecemasan sebelum pihak hospital tiba. Pertolongan awal penting bagi menyelamat nyawa kanak-kanak termasuk warga tua.
“Tanpa kemahiran pasti sukar untuk seseorang itu melakukan pertolongan cemas terutama ketika berlaku kecemasan membabitkan kanak-kanak dan warga tua yang mengidap penyakit tertentu.
“Pada program kali ini kita turut mengajar peserta berhadapan dengan situasi tercekik dan luka terbakar atau melecur. Detik cemas berkenaan hanya boleh dihadapi sekiranya seseorang itu memiliki kemahiran dan kebolehan,” katanya, dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, program ini turut bertujuan untuk memberi pendedahan dan kemahiran kepada petugas disamping untuk memastikan Taska dan Tabika patuh dengan syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menetapkan kakitangan pusat jagaan itu memiliki
kemahiran pertolongan cemas.
Shaifu Nizam berkata, latihan pertolongan cemas dan CPR termasuk berhadapan situasi tercekik serta luka terbakar atau melecur merupakan siri ke 13 diadakan sejak 2024, seramai 419 peserta telah menyertai.
“Sekiranya ada permintaan daripada Unit Latihan Persatuan Pendidik Awal Kanak-Kanak Negeri Pahang kita sedia bekerjasama untuk terus berkongsi kemahiran yang dimiliki anggota APM,” katanya.
IMedikel TV






