Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV
MACHANG: Draf Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan cadangan pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya telah selesai disemak dan kini berada dalam perhatian Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) untuk penelitian lanjut.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata, draf berkenaan dikemukakan selepas melalui proses semakan susulan pandangan yang dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Kerajaan.

Menurutnya, semakan terhadap draf tersebut telah diselesaikan oleh pihak berkaitan sebelum ia diserahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk tindakan selanjutnya.
“Kami telah selesai menyemak draf berkaitan pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya selepas menerimanya daripada pihak berkaitan.
“Draf ini juga telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Santuni MADANI Jabatan Peguam Negara 2026 di Sekolah Kebangsaan Pulai Chondong, di sini, hari inj.
Menurut Mohd Dusuki, ketika ini proses berkenaan masih dalam tindakan jawatankuasa tersebut dan pihaknya akan melakukan semakan tambahan sekiranya diperlukan.

“Sekiranya ada isu lanjut yang perlu diteliti, kami akan membuat semakan sewajarnya. Jika tiada, draf berkenaan akan dibawa ke Majlis Kerajaan untuk pertimbangan dalam mesyuarat pada tahun hadapan.
“Cadangan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebelum ini menjadi antara agenda reformasi institusi yang mendapat perhatian pelbagai pihak kerana melibatkan fungsi perundangan dan pendakwaan negara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd Dusuki menegaskan kepentingan mendekatkan perkhidmatan kerajaan dengan masyarakat menerusi Program Santuni MADANI yang dilaksanakan di kampung halamannya.
Beliau berkata, program itu menghimpunkan kira-kira 20 agensi kerajaan dan badan berkaitan bagi membolehkan rakyat mendapatkan pelbagai maklumat serta perkhidmatan secara terus tanpa perlu hadir ke pejabat agensi terlibat.
Program berkenaan turut menampilkan pelbagai pengisian termasuk Jualan Rahmah, kempen derma darah, ceramah kesihatan mental, sesi perkongsian kerjaya dan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf dalam usaha memperkukuhkan hubungan antara kerajaan dan masyarakat di peringkat akar umbi.
IMedikel TV






