KAHERAH: Anak kepada ketua pemimpin Hamas, Khalil al-Hayya, selamat daripada percubaan pembunuhan oleh tentera Israel, menurut pegawai kanan Hamas, Basem Naim.
Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, Beliau memberitahu Reuters, Izzeldeen al-Hayya dan keluarganya terselamat dalam serangan udara pada awal pagi semalam, manakala sumber Hamas berkata beberapa individu, termasuk menantu perempuan Khalil cedera, namun tiada kematian dilaporkan.
Setakat ini tentera Israel belum mengeluarkan sebarang komen.
Naim menyifatkan Izzeldeen yang dilahirkan pada 1997, sebagai anak lelaki al-Hayya yang masih hidup, selepas empat anak lelakinya yang lain terbunuh dalam serangan Israel.
Menurut Naim, keluarga salah seorang anak lelaki al-Hayya yang terkorban turut terselamat dalam serangan semalam.
Hamas dalam kenyataannya berkata, tentera Israel menyasarkan sebuah apartmen dan mengaitkan serangan itu dengan ancaman yang pernah dibuat Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz terhadap al-Hayya.
Menurut Naim lagi, Izzeldeen ialah saudara kembar Hamam Khalil al-Hayya yang terbunuh dalam serangan udara Israel pada 2025 ketika menyasarkan pemimpin Hamas di Qatar.
Empat anak lelaki al-Hayya sebelum ini terbunuh dalam serangan Israel, termasuk seorang pada Mei dan seorang lagi dalam serangan yang menyasarkan pemimpin Hamas di Doha pada September 2025.
Dua lagi anak lelakinya terbunuh sebelum perang Gaza tercetus susulan serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023.
Al-Hayya dilantik sebagai pemimpin utama Hamas pada Julai lalu dan hampir terbunuh dalam serangan Israel di Qatar.
Khamis lalu, beliau memberi amaran kemungkinan tindakan balas selepas serangan Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 10 penduduk Gaza.
Dalam perkembangan berasingan, menurut petugas perubatan, dua serangan Israel semalam (Jumaat) mengorbankan lima rakyat Palestin di Gaza.
Serangan pertama mengorbankan tiga rakyat Palestin dan mencederakan dua lagi di bandar Rafah, menurut sumber perubatan kepada Reuters.
Jurucakap tentera Israel berkata pihaknya menyerang tiga pejuang, namun tidak memberikan maklumat lanjut.
Dalam serangan kedua, petugas perubatan Palestin berkata dua individu yang bertugas sebagai pengawal keselamatan awam di sebuah pejabat Medecins Sans Frontieres (MSF) di Gaza City terbunuh.
Setakat ini, tentera Israel dan MSF belum mengeluarkan kenyataan, manakala Reuters belum dapat mengesahkan sama ada kedua-dua mangsa bekerja untuk pertubuhan terbabit.
Tentera Israel kini menguasai kira-kira dua pertiga wilayah Gaza, meningkat daripada lebih separuh ketika gencatan senjata bermula, manakala Hamas menguasai kawasan sempit di sepanjang pantai Gaza. – REUTERS, BH Online –
IMedikelTV






