Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: Dua beradik lelaki masing-masing berusia enam dan 10 tahun maut, manakala abang mereka berusia 18 tahun cedera selepas motosikal dinaiki tiga beradik itu dipercayai terbabas di Kampung Bechah, Jalan Tendong-Bunut Susu, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, ketiga-tiga mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC110 dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Bechah, Tendong.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, siasatan awal mendapati motosikal berkenaan dipercayai terbabas sebelum bergesel dengan tiang lampu di sebelah kiri jalan dan melanggar lubang.
Beliau berkata akibat kejadian itu, ketiga-tiga mangsa tercampak dari motosikal berkenaan.
“Mangsa berusia 10 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala adiknya berusia enam tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
“Abang mereka yang berusia 18 tahun pula masih menerima rawatan di hospital sama akibat kecederaan di kepala,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, ketiga-tiga mangsa mempunyai hubungan kekeluargaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa dan penjaga supaya lebih tegas dalam memastikan keselamatan anak-anak ketika berada di jalan raya, khususnya berkaitan pemakaian topi keledar ketika menunggang motosikal.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menghentikan amalan menunggang motosikal melebihi dua orang kerana perbuatan itu menyalahi undang-undang serta meningkatkan risiko keselamatan.
IMedikel TV






