Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
SIK: Seramai 173 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari enam negara dihantar pulang ke negara asal menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1 dan KLIA2), dalam operasi penguatkuasaan berterusan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah.
Kesemua mereka terdiri daripada 139 lelaki, 32 wanita dan dua kanak-kanak perempuan yang sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Belantik, Sik, Kedah.
Menurut kenyataan menerusi laman rasmi JIM Negeri Kedah, warga asing terbabit melibatkan rakyat Myanmar, Bangladesh, Pakistan, India, China dan Kemboja.
“Urusan pembelian tiket penerbangan pulang ke negara asal ditanggung sepenuhnya oleh keluarga serta majikan masing-masing.
“Kesemua PATI berkenaan didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 sebelum selesai menjalani hukuman,” kata JIM.
JIM berkata sebagai langkah kawalan, mereka turut dikenakan tindakan senarai hitam dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia bagi menghalang kemasukan semula ke negara ini.
Program pemindahan itu adalah sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan berterusan JIM Negeri Kedah dalam menguruskan penghantaran pulang warga asing yang melanggar undang-undang imigresen.
IMedikel TV






