Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang usahawan ternakan, Dr Asran Alias, 44, menjelaskan hantaran yang dimuat naik di media sosial sebelum ini dibuat berdasarkan pengalaman yang dilaluinya dan bukan bertujuan mencetuskan permusuhan dengan mana-mana pihak.
Asran berkata, dia menghormati proses perundangan yang sedang berjalan susulan penerimaan Surat Tuntutan (LOD) daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang antara lain menuntut ganti rugi sebanyak RM1 juta.

Menurutnya, isu berkenaan telah menarik perhatian ramai di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai.
“Saya tidak berniat untuk bergaduh atau bermusuhan dengan sesiapa. Apa yang berlaku sudah pun mendapat perhatian ramai dan saya berharap semua pihak dapat melihat perkara ini dengan baik,” dakwanya ketika dihubungi IMedikel TV.
Asran berkata demikian ketika mengulas tuntutan yang turut menggesa permohonan maaf terbuka serta pemadaman beberapa hantaran media sosial yang dipertikaikan.
Menurutnya, dia sentiasa bersikap terbuka dan memilih pendekatan yang baik dalam menangani isu berkenaan.
“Saya sentiasa terbuka untuk berdamai dan menyelesaikan perkara ini secara baik,” katanya.
Jelasnya, pelbagai sokongan diterima daripada masyarakat sejak isu berkenaan tular, namun berharap orang ramai tidak menjadikan perkara itu sebagai medan untuk menyerang mana-mana pihak.
Katanya, perkara yang lebih utama ketika ini adalah untuk memberi tumpuan kepada perniagaan yang diusahakan serta menjaga kesihatan.
“Saya cuma mahu memberi tumpuan kepada perniagaan dan kesihatan. Itu yang lebih penting buat saya ketika ini,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan AKSB menerusi firma guaman Tetuan Afifah, Wan & Aimi Shazwani mengemukakan surat tuntutan terhadap Dr Asran berhubung beberapa hantaran media sosial yang didakwa menjejaskan reputasi dan kredibiliti syarikat berkenaan.
IMedikel TV






