Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang bertindak tegas menyita 13 motosikal warga asing di kawasan perindustrian Gebeng dan Beserah, dekat sini semalam.
Operasi Khas Pemandu Warga Asing yang diadakan bertujuan bagi memastikan pemandu kenderaan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan jalan raya.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, menerusi operasi berkenaan sebanyak 13 motosikal telah disita dan tindakan mahkamah turut diambil terhadap pemilik kenderaan yang didapati membenarkan individu tanpa lesen memandu yang sah menggunakan kenderaan mereka.
Menurutnya, jabatan menegaskan setiap pemilik kenderaan bertanggungjawab memastikan kenderaan mereka hanya dikendalikan oleh individu yang memiliki lesen memandu yang sah.
Kegagalan mematuhi ketetapan ini bukan sahaja menjadi suatu kesalahan di sisi undang-undang malah mengundang risiko terhadap keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan, tindakan tegas menanti individu terbabit yang seolah tidak menghormati peraturan serta undang-undang yang ada.
“Jabatan akan terus melakukan operasi khas pemandu warga asing di seluruh Pahang dalam memastikan warga asing tidak sesuka hati memandu tanpa lesen,” katanya, di sini hari ini.
Beliau menambah, jabatan mengingatkan kepada pemilik kenderaan supaya tidak membenarkan warga asing menggunakan kenderaan mereka kerana perbuatan berkenaan mengundang tindakan undang-undang pada individu terbabit.
Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya berkata, JPJ Negeri Pahang komited untuk terus memperkukuh pelaksanaan operasi penguatkuasaan secara konsisten dalam memastikan semua pihak dapat mematuhi peraturan dan undang-undang.
Menurutnya, jabatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang jalan raya tanpa mengira kewarganegaraan, demi mewujudkan persekitaran jalan raya yang lebih selamat, teratur dan berdisiplin.
IMedikel TV






