Home Buletin Semasa 30 PEKABUN ORANG ASLI BELAJAR BUAT CANTUMAN DURIAN

30 PEKABUN ORANG ASLI BELAJAR BUAT CANTUMAN DURIAN

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

LIPIS: Pejabat Pertanian Daerah Lipis mengadakan Kursus Amalan Pertanian Baik (APB) dan Cantuman Durian yang disertai seramai 30 peserta Orang Asli di Kampung Orang Asli Pantos, dekat sini kelmarin.

Kursus anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Lipis dengan kerjasama Pejabat Pertanian Daerah Lipis memberi berpeluang kepada mendalami teknik pengurusan tanaman secara sistematik serta kemahiran cantuman durian secara teori dan amali.

Pegawai Pertanian Daerah Lipis, Juliana Din, berkata pihaknya menyediakan tenaga pengajar yang berpengalaman untuk dikongsi dengan peserta Orang Asli terdiri daripada penduduk Kampung Pantos.

Katanya, sesi taklimat dan tunjuk ajar disampaikan oleh penceramah jemputan, Zahaluddin Mohd Yusof merupakan Agen Pengembangan Kawasan (APT) Jelai dibawah Pejabat Pertanian Daerah Lipis dan beberapa pegawai lain serta wakil JAKOA Daerah Lipis.

Menurutnya, peserta lelaki dan wanita terdiri daripada penduduk Kampung Orang Asli Pantos yang sememangnya terkenal dengan hasil buah-buahan tempatan seperti durian, petai dan pisang.

“Tujuan kursus diadakan untuk memberi pendedahan kepada peserta terhadap amalan pertanian baik yang membabitkan penjagaan, baja dan racun. Perkara berkenaan penting dalam usaha memberi hasil yang memuaskan.

“Teknik cantuman durian yang diajar diharap dapat digunakan untuk peserta menghasilkan anak pokok berkualiti seterusnya mampu memberi hasil lumayan secara berterusan,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya berharap teknik cantuman yang diajar dapat membuka era baharu Kampung Orang Asli Pantos apabila pokok durian klon berkualiti seperti Musang King, D24, IOI, Duri Hitam dan Udang Merah menjadi tanaman utama.

Juliana berkata, hasil durian klon mampu memberi pendapatan lumayan kepada pekebun, tidak mustahil suatu hari nanti pekebun Orang Asli Kampung Pantos berjaya menghasilkan durian berkualiti dalam jumlah yang banyak setiap musim.

“Diharapkan perkongsian ilmu dan kemahiran ini dapat membantu meningkatkan produktiviti serta hasil tanaman durian komuniti setempat di Kampung Orang Asli Pantos.

“Kita turut bersedia memberi khidmat nasihat dan tunjuk ajar kepada pekebun durian dan buah-buahan lain di kampung Orang Asli di daerah ini,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here