KOTA BHARU: Naib Ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (AWAN), Dr Hafidzah Mustakim menyerahkan soal kedudukannya sama ada akan terus diberi mandat bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kepada kepemimpinan parti untuk menentukannya.
Memetik laporan Berita Harian, Dr Hafidzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama berkata, soal pencalonan bukan keutamaan ketika ini, sebaliknya mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab diamanahkan rakyat.
“Tugas saya sangat fokus. Kita nak memastikan dalam ruang demokrasi yang ada ini, rakyat yang memilih saya memang rasa mereka tidak salah pilih, selain membuka mata orang lain untuk melihat mereka sebenarnya mempunyai pilihan.
“Itu soalan paling sensitif. Jadi, perkara itu kita serahkan kepada parti untuk menentukannya,” katanya ketika ditemui pemberita ketika Penyerahan Memo Sempena Hari Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, pada Rabu.
Mengenai kemungkinan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama, Dr Hafidzah berkata, keputusan mengenai calon terletak di tangan parti.
“Saya memahami penentuan calon bukan dibuat secara individu, sebaliknya menjadi tanggungjawab dan pertimbangan kepimpinan parti.
“Bagi saya, ia tidak menjadi keutamaan pada masa ini kerana kita tahu siapa yang menentukannya. Soal calon ini bukan saya yang menentukan,” katanya.
Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan prestasi sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat, Dr Hafidzah bagaimanapun menegaskan masih banyak ruang untuk penambahbaikan.
“Saya nak lebih lagi,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Dr Hafidzah memenangi kerusi DUN Kota Lama selepas memperoleh 9,695 undi, menewaskan calon PAS, Datuk Zamri Ismail yang mendapat 9,489 undi. – BH Online –
IMedikel TV






