PETALING JAYA: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu yang disandangnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.
Memetik laporan Berita Harian, Sulaiman mengambil keputusan tidak lagi menawarkan diri sebagai calon selepas tiga penggal mewakili kawasan berkenaan sejak 2013.
“Cukup sudah saya bertanding,” katanya ketika dihubungi.
Sulaiman yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah memenangi kerusi DUN Lendu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 2013 serta berjaya mempertahankannya pada PRU14 (2018) dan PRN Melaka (2021).
Pada PRN Melaka itu, beliau mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti 3,104 undi selepas menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Abdullah Mahadi dan calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Asri Ibrahim.
Beliau menerajui pentadbiran kerajaan negeri sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12 selepas mengangkat sumpah jawatan pada 9 Mac 2020 bagi menggantikan Adly Zahari.
Sulaiman sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada November 2021 selepas Barisan Nasional (BN) memenangi PRN, sebelum Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilantik sebagai pengganti.
Sementara itu, seorang lagi bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron enggan mengulas lanjut berhubung kemungkinan bertanding pada PRN Melaka kali ini.
Bekas ADUN Sungai Udang itu tidak memberikan sebarang petunjuk jelas mengenai keputusan atau pendiriannya berhubung perkara itu. – BH Online –
IMedikel TV






