Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Sindiket penyeludupan dadah dikesan menggunakan pelbagai laluan dan modus operandi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, termasuk melalui jalan darat, laut serta pengangkutan udara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Malaysia turut dijadikan negara transit bagi penghantaran dadah dari negara utara ke Indonesia dan Filipina, termasuk melalui Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, kegiatan itu turut melibatkan penghantaran ke beberapa negara lain menggunakan pengangkutan udara melalui lapangan terbang.
Katanya, sindiket berkenaan sentiasa mencari ruang dan kelemahan kawalan pihak berkuasa untuk melaksanakan kegiatan penyeludupan.
“Kalau ada ruang untuk menggunakan laluan udara, mereka akan gunakan udara. Kalau laut, mereka gunakan laut. Semua ruang yang ada akan digunakan.
“Mereka juga fleksibel dan akan mencari ruang ketika pihak berkuasa leka. Apabila kawalan diperketatkan di KLIA, mereka akan cuba menggunakan lapangan terbang lain seperti Pulau Pinang dan Ipoh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Insurans Kelompok Koperasi Polis Diraja Malaysia kepada balu Allahyarham Koperal Muhamad Alimi Kamarudin di Kampung Dendang, Ketereh, di sini hari ini.
Mengulas usaha membanteras kegiatan itu, Hussein berkata, PDRM menjalinkan kerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura menerusi perkongsian maklumat risikan.
Menurutnya, kerjasama rentas negara itu penting bagi membolehkan pihak berkuasa menjejaki keseluruhan rangkaian sindiket, termasuk mengenal pasti individu yang membawa dadah serta destinasi penghantarannya.
Katanya, tindakan penguatkuasaan boleh dilakukan sebelum dadah memasuki Malaysia, ketika berada di negara ini atau melalui kerjasama dengan negara lain sekiranya penghantaran berjaya melepasi kawalan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kawalan keselamatan di lapangan terbang dan sempadan negara turut dipertingkatkan susulan perkembangan kegiatan penyeludupan dadah menggunakan pelbagai modus operandi.
Katanya, usaha itu membabitkan kerjasama pelbagai agensi termasuk polis dan Kastam, selaras dengan 17 langkah yang digariskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memperketat kawalan di pintu masuk negara.
Mengulas kemungkinan peningkatan aktiviti penyeludupan ketika musim banjir, Hussein berkata, keadaan paras air yang meningkat seperti pernah berlaku pada 2024 boleh membuka lebih banyak laluan kepada kegiatan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, kawalan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan sebarang cubaan penyeludupan dapat dibendung.
IMedikel TV






