KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) membangunkan Galeri Interaktif Sains Perubatan (SPICES) bagi memperbaharui kaedah pengajaran dan pembelajaran berkonsepkan tiga dimensi (3D) dan realiti maya (VR- Virtual Reality) bernilai RM2.4 juta yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Naib Canselor USM Kampus Kesihatan, Prof Datuk IR Dr Abdul Rahman Mohamed, berkata galeri berkenaan mempunyai lebih 200 spesimen organ menggabungkan reka bentuk berkonsepkan sains dan seni dengan ciri-ciri teknologi interaktif.

“Spesimen melibatkan organ dalam tubuh badan manusia yang diawet dan dipamerkan termasuk sel kanser serta ketumbuhan dalam galeri berkenaan untuk pembelajaran serta pengajaran (p&p).
“Spesimen ini diambil daripada tubuh pesakit yang mendapat rawatan di hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian sejak hospital ini sejak hampir 40 tahun.”
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Spices di Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kubang Kerian, di sini, semalam.
Dr Abd Rahman berkata, Spices dilengkapi kod qr yang dipamerkan, panel interaktif, sistem audio, realiti maya (VR) dan realiti perantara (AR) serta pemetaan tiga dimensi (3D) organ manusia yang pastinya akan memberi pengalaman baharu kepada pengunjung.

“Galeri interaktif ini juga merupakan tempat pengajaran dan pembelajaran yang menarik serta menjadi ikonik untuk Pusat Pengalian Sains Perubatan (PPSP), USM.
“Spices merupakan satu-satunya galeri yang menggabungkan idea sains dan seni serta memberi kelainan bukan hanya kepada USM tetapi juga kepada Pusat Pengajian Sains Perubatan di Malaysia.”
Tambahnya, galeri tersebut tidak terhad kepada pelajar program Doktor Perubatan PPSP sahaja, tetapi menjadi ruang p&p yang sesuai untuk pelajar di Kampus Kesihatan USM termasuk ijazah sarjana, selain turut dibuka kepada orang awam bagi menarik minat terhadap ilmu sains dan kesihatan khususnya perubatan.

“Spices dibangunkan berdasarkan idea asal untuk menubuhkan muzium patologi, selain ia menjadi bukti komitmen USM terhadap inovasi dan kecemerlangan dalam pendidikan serta penyelidikan.”
IMedikel TV






