KOTA BHARU: Bimbang timbul perasaan malu terhadap keluarga dan masyarakat, ibu bapa enggan melaporkan kes gangguan seksual kanak-kanak.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) khuatir akan sikap ibu bapa yang mengambil sikap berdiam diri.
Bagaimanapun, mereka tidak harus mempunyai perasaan itu kerana terdapat undang-undang untuk melindungi mangsa gangguan seksual iaitu di bawah Akta Antigangguan Seksual 2022.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, segelintir ibu bapa mengambil mudah berkenaan aduan yang diketengahkan oleh anak yang menjadi mangsa gangguan seksual demi menjaga Institusi Kekeluargaan.

“Banyak kes gangguan seksual ini dimana ibu sendiri tidak mahu menerima berita yang diadukan oleh anak jadi itulah yang menyebabkan anak berasa takut dan sangsi.
“Kadang-kadang ibu lebih ingin menjagakan Institusi Kekeluargaan dan tidak mahu orang ramai tahu jadi kita nak maklumkan kepada keluarga supaya tidak memandang remeh tentang isu ini kerana banyak isu sumbang mahram yang telah terjadi selama hari ini.”katanya ketika sidang media selepas Program Jerayawara KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual Negeri Kelantan di sini, baru-baru ini.
Jelas beliau, isu gangguan seksual dalam kalangan kanak-kanak boleh mengakibatkan trauma dan memberi kesan jangka panjang terutamanya jika pelaku terdiri daripada individu terdekat seperti bapa atau abang sendiri.
Nancy berkata, ibu bapa perlu memberi pendedahan awal kepada anak mereka maksud sebenar gangguan seksual.
Mereka juga perlu didedahkan mengenai anggota badan yang perlu dijaga terutama bahagian sulit kanak-kanak serta percakapan yang sesuai atau tidak.

“Kepada kanak-kanak mereka bergantung pada ibubapa, ibubapa terutama sekali mendidik anaknya apa yang boleh dianggapkan sebagai gangguan seksual dan mereka perlu berhati-hati. Kalau ada yang membuat pegangan, percakapan yang cenderung ke arah seksual perlu difahami. Oleh sebab itu, kita membawa seramai-ramai wanita untuk menyertai program kita supaya mereka mempunyai kesedaran.”
Katanya, kanak-kanak yang menjadi mangsa gangguan seksual bergantung kepada ibu bapa untuk melindungi mereka.
Malahan, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak berkaitan unsur-unsur yang cenderung ke arah gangguan seksual.
Hal itu bagi memberi kesedaran terhadap mereka agar lebih berhati-berhati.
Tambahnya, KPWKM sedia membantu mangsa dari segi khidmat kaunseling dan psikologi namun mangsa disarankan juga untuk membuat laporan polis.
Nancy turut mencadangkan agar pihak berwajib dapat memperketatkan hukuman sewajarnya terhadap pelaku bagi mengelakkan perkara itu dianggap perlakuan normal setiap hari.
IMedikel TV






