PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan tegas dengan menyita kenderaan lebih muatan.
JPJ dalam kenyataan media, berkata dalam kes tersebut kenderaan berat itu telah membawa lebih muatan bukan sekadar 10 peratus hingga 20 peratus tetapi mencecah melebihi 70 peratus sehingga 140 peratus lebih muatan.
Media sebelum ini melaporkan tentang tindakan pihak JPJ menyita kenderaan berat yang melakukan kesalahan membawa lebih muatan dan berisiko tinggi kepada berlakunya kemalangan dan kerosakan jalan raya.
Dimaklumkan bahawa JPJ dalam menguatkuasakan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) & Akta Pengangkutan Awam darat 2010 (Akta 715), adalah bersandar kepada prosedur di bawah akta berkenaan.
Kenderaan berat yang membawa lebih muatan atau berbahaya adalah berisiko kepada kemalangan maut akibat kegagalan fungsi brek dan kegagalan teknikal kenderaan disamping mengakibatkan kerosakan jalan raya yang sering menjadi punca kemalangan kepada kenderaan lain. Tindakan diambil dibawah Seksyen 57 dan Seksyen 80 [Akta 715].
Sebagaimana sedia maklum, kenderaan berat yang dilesenkan untuk membawa muatan adalah tidak dibenarkan melebihi had berat mengikut kapasiti teknikal yang ditetapkan dan penguatkuasaan jpj telah mengesan kenderaan berat tersebut telah membawa muatan berat melebihi lingkungan antara 70% ke hampir 140%.
Dimaklumkan juga bahawa keputusan kes bagi tindakan tersebut adalah tertakluk kepada bidang kuasa pihak mahkamah.
Justeru, pihak syarikat pengangkutan terlibat dinasihatkan untuk memohon dan menyelesaikan perkara tersebut berdasarkan prosedur yang ditetapkan di bawah Seksyen 57 dan Seksyen 80 [Akta 715] dengan pihak mahkamah berkenaan. -Buletin TV3-
IMedikel TV






