Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terus memperkukuh agenda keusahawanan dalam kalangan pelajar menerusi penganjuran program Trailblazer Cup Homeground Enterprise Challenge Trophy 2026 yang berlangsung dari 13 hingga 16 April di sini.
Program itu bertujuan mencungkil dan membangunkan bakat keusahawanan pelajar daripada keseluruhan 10 fakulti di UMK.
Pengarah Pusat Pendidikan dan Pembangunan Keusahawanan (CEED), Dr. Mohd Safwan Ghazali berkata, seramai 40 usahawan pelajar UMK daripada 10 fakulti dipilih menyertai program tersebut.

“Kita ada intensi bootcamp bermula Ahad hingga Rabu sebelum peserta membuat pembentangan akhir pada hari Khamis bagi menentukan juara terbaik yang bakal membawa pulang Trofi Trailblazer serta hadiah wang tunai,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Beliau berkata, Trailblazer Cup 2026 merupakan penganjuran kali ketiga dan kali ini turut melibatkan IMedikel Pharma Holding Berhad sebagai rakan strategik.
Hadir sama, Penolong Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Korporat IMedikel, Mohd Firdaus Mohamed Yusoff berkongsi pengetahuan tentang proses pengilangan produk secara OEM kepada usahawan pelajar UMK yang berminat menghasilkan produk sendiri.

“Perkongsian ini sangat membantu pelajar memahami bahawa untuk menjadi seorang pengasas bukan sekadar mempunyai modal, tetapi perlu melalui prosedur dan tatacara yang betul,” jelasnya.
Beliau turut berharap program itu mampu melahirkan bakat usahawan baharu dalam kalangan pelajar serta membimbing mereka daripada peringkat awal sehingga berjaya membangunkan perniagaan sendiri.
“UMK mahu pelajar menjadikan keusahawanan sebagai pilihan kerjaya utama, bukan sekadar pilihan kedua selepas tamat pengajian,” katanya.
Tambah beliau, UMK turut menyasarkan lebih ramai usahawan berjaya termasuk sekurang-kurangnya 10 jutawan dalam tempoh pelan pembangunan UMK 2030.
“Melalui platform Trailblazer Cup 2026 ini, kita berharap bakal lahir usahawan jutawan UMK pada masa akan datang,” katanya.
IMedikel TV






