Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR PUTEH:Seorang anggota polis maut selepas kereta dipandunya terbabas dalam kemalangan di Kilometer 30, Jalan Persekutuan Pasir Puteh-Kota Bharu berhampiran simpang Kampung Banir Belikong, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh pada kira-kira jam 12.05 tengah malam.
Beliau berkata, lelaki terbabit berusia 28 tahun bertugas sebagai anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Terengganu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku pada kira-kira jam 11.50 malam, semalam, ketika mangsa memandu sebuah Perodua Kelisa dari arah Kota Bharu menghala pulang ke rumahnya di Pasir Puteh.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan mangsa tercampak keluar dari kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Pasir Puteh, Inspektor Abdul Munir Mohd Fauzi di talian 013-9872579 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
IMedikel TV






