Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Dua lelaki ditahan polis selepas dipercayai memiliki 2,000 biji pil disyaki dadah jenis pil Yaba dalam satu operasi di parkir Medan Selera Bukit Yong, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob, berkata kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 6.40 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Menurut beliau, ketika serbuan dilakukan, kedua-dua suspek berada di hadapan sebuah motosikal jenis Yamaha Y16ZR berwarna kuning dan kelabu tanpa nombor pendaftaran.
“Hasil pemeriksaan menemukan 10 paket plastik yang mengandungi 2,000 biji pil disyaki dadah jenis pil Yaba dengan anggaran berat 221.41 gram.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM20,000,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati negatif.
Katanya, permohonan reman selama tujuh hari terhadap kedua-dua suspek akan dibuat bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
IMedikel TV






